Terkini
Nepal haramkan TikTok dakwa ganggu keharmonian sosial
Kerajaan Nepal memutuskan untuk mengharamkan aplikasi media sosial popular TikTok pada Isnin kerana menganggap aplikasi itu mengganggu keharmonian sosial di negara itu.
- Kerajaan Nepal memutuskan untuk haramkan aplikasi media sosial popular TikTok pada Isnin kerana anggap aplikasi itu ganggu keharmonian sosial negara itu.
- “Keputusan untuk mengharamkan telah dibuat hari ini (kelmarin), dan pihak berkuasa yang berkaitan sedang menangani isu-isu teknikal,” kata Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Rekha Sharma.
- Sharma berkata, keputusan dibuat selepas mendapati pengguna TikTok kongsi kandungan ganggu keharmonian sosial, struktur keluarga dan hubungan sosial.
KATHMANDU – Kerajaan Nepal memutuskan untuk mengharamkan aplikasi media sosial popular TikTok pada Isnin kerana menganggap aplikasi itu mengganggu keharmonian sosial di negara itu.
“Keputusan untuk mengharamkan telah dibuat hari ini (kelmarin), dan pihak berkuasa yang berkaitan sedang menangani isu-isu teknikal,” kata Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Rekha Sharma.
Sharma berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati pengguna TikTok berkongsi kandungan yang mengganggu keharmonian sosial, struktur keluarga dan hubungan sosial.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan sebab yang telah mencetuskan larangan tersebut.
Sementara itu, pemimpin parti Kongres Nepal, Gagan Thapa berkata hasrat kerajaan itu seolah-olah menyekat kebebasan bersuara.
“Peraturan diperlukan untuk tidak menggalakkan mereka yang menyalahgunakan media sosial, tetapi tindakan menutup media sosial atas nama peraturan adalah benar-benar salah,” katanya melalui hantaran di platform X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.
Keputusan itu dibuat selepas beberapa hari Nepal memperkenalkan arahan yang mewajibkan semua platform media sosial yang beroperasi di negara itu untuk menubuhkan pejabat.
TikTok mempunyai kira-kira satu bilion pengguna menghadapi sekatan di banyak negara kerana didakwa melanggar peraturan data dan berpotensi memberi kesan yang membahayakan belia.
Menurut agensi pemasaran We Are Social, TikTok adalah platform sosial keenam paling banyak digunakan di seluruh dunia. – AFP
Sumber: Berita RTM