Terkini
Mana pengganti Menteri KPDN? – PAS
PAS menuntut penjelasan mengenai jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang tidak diisi sehingga hari ini walaupun selepas empat bulan pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
- PAS menuntut penjelasan mengenai jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang tidak diisi sehingga hari ini walaupun selepas empat bulan pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
- Ketua Pengarah Jabatan Penerangan dan Media Baharunya, Zurk Ahmad berkata sekalipun jawatan itu mempunyai pemangku dan Timbalan Menteri, jawatan Menteri tetap penting dan utama sebagai anggota dalam mesyuarat Kabinet.
- “Timbalan Menteri, Fuziah Salleh katanya hala tuju KPDN tidak terjejas walaupun kerja bertambah. Bagaimana pula situasi sebenarnya yang dirasakan rakyat?
- “Rakyat menilai namun tiada hak menentukan, hanya PM. Jadi apakah alasannya lantikan baru masih belum boleh dibuat?” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini dengan persoalan, ‘Mana Pengganti Menteri KPDN?’.
KUALA LUMPUR — PAS menuntut penjelasan mengenai jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang tidak diisi sehingga hari ini walaupun selepas empat bulan pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan dan Media Baharunya, Zurk Ahmad berkata sekalipun jawatan itu mempunyai pemangku dan Timbalan Menteri, jawatan Menteri tetap penting dan utama sebagai anggota dalam mesyuarat Kabinet.
Katanya, Perdana Menteri (PM) juga mestilah sangat sedar dan cakna akan isu harga barangan dan kos sara hidup yang berterusan menjadi rungutan majoriti rakyat sama ada pengguna dan peniaga yang sedang bergelut dalam situasi itu.
“Dengan kehadiran Menteri KPDN dahulu pun, berat tanggungjawab beliau menguruskan isu ini dengan inisiatif RAHMAH dan sebagainya. Tak menang tangan.
“Timbalan Menteri, Fuziah Salleh katanya hala tuju KPDN tidak terjejas walaupun kerja bertambah. Bagaimana pula situasi sebenarnya yang dirasakan rakyat?
“Rakyat menilai namun tiada hak menentukan, hanya PM. Jadi apakah alasannya lantikan baru masih belum boleh dibuat?” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini dengan persoalan, ‘Mana Pengganti Menteri KPDN?’.
Zurk Ahmad berkata sebelum ini timbul harapan lantikan Menteri KPDN akan diselesaikan susulan terdapat desas-desus mengatakan PM akan melakukan rombakan kabinet namun perkara itu tidak berlaku sebagaimana dihebohkan.
“Dimaklumkan, Presiden AMANAH pun sudah menghantar senarai nama calon. Apa lagi kekangannya?” katanya.
Terbaharu, media melaporkan Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentukan siapa yang bakal mengisi jawatan Menteri KPDN.
Presidennya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, meskipun berharap jawatan itu diberikan kepada pemimpin mahupun ahli parti itu, namun Perdana Menteri lebih berhak menentukan siapa yang bakal berada di dalam kabinetnya kelak.
Pada 15 September lalu, Anwar dilaporkan berkata kekosongan jawatan Menteri KPDN akan diisi secepat mungkin dan jika sesiapa mempunyai cadangan bagi mengisi jawatan terbabit, boleh menulis surat kepadanya.
Jawatan Menteri KPDN kini dipangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.
Ia susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu yang juga Timbalan Presiden AMANAH.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU). — The Merdeka Times
Sumber : Facebook Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat