Terkini
Palestin bukan isu agama Islam, tetapi keadilan kemanusiaan – Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan seluruh rakyat supaya tidak menjadikan isu pendirian dan sokongan umat Islam terhadap perjuangan Palestin yang ditindas Israel, memecahbelahkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
- Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan seluruh rakyat supaya tidak menjadikan isu pendirian dan sokongan umat Islam terhadap perjuangan Palestin yang ditindas Israel, memecahbelahkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
- Perdana Menteri berkata, isu terkait Palestin sangat dekat di hati umat Islam dan berharap semua pihak berlainan agama tidak melihat situasi getir menimpa rakyat negara itu sebagai isu agama semata-mata, sebaliknya ia lebih daripada itu.
- “Saya ingin mengambil kesempatan menggesa seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk melihat ini dari segi kaedah sejarah dan kemanusiaan. Jangan jadikan isu ini (Palestin) sebagai isu yang membezakan sikap kita terhadap apa itu kemerdekaan.
- “Isu ini bukan saja sangat dekat dengan umat Islam, tetapi juga sangat dekat dengan kemanusiaan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan seluruh rakyat supaya tidak menjadikan isu pendirian dan sokongan umat Islam terhadap perjuangan Palestin yang ditindas Israel, memecahbelahkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Perdana Menteri berkata, isu terkait Palestin sangat dekat di hati umat Islam dan berharap semua pihak yang berlainan agama tidak melihat situasi getir menimpa rakyat negara itu sebagai isu agama semata-mata, sebaliknya ia lebih daripada itu.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak mengimbau dan mengamati semula proses mengecapi kemerdekaan negara termasuk kesusahan rakyat ketika zaman penjajahan Inggeris dahulu.
“Saya ingin mengambil kesempatan menggesa seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk melihat ini dari segi kaedah sejarah dan kemanusiaan. Jangan jadikan isu ini (Palestin) sebagai isu yang membezakan sikap kita terhadap apa itu kemerdekaan.
“Malaysia merdeka, menolak penjajah Inggeris dan kita bersama menentang penjajahan Inggeris. Jadi, mengapa kita agak berlembut apabila ada penjajah Israel ke atas Palestin? Sekarang kita semua mendukung perjuangan Nelson Mandela di Afrika Selatan tetapi tidak sebelumnya.
“Sebelumnya masih ada yang ragu, namun sekarang kita yakin tindakan mereka ini kerana keganasan dan penjajahan apartheid kulit putih terhadap kulit hitam. Jadi saya ingin menggesa rakan-rakan kerana ada juga suara yang menganggap kita agak keras dan bertentangan dengan sikap berkecuali Malaysia.
“Malaysia mendukung prinsip berkecuali tetapi tidak berkecuali dalam soal kezaliman, tidak berkecuali apabila ribuan anak-anak dibunuh dan dibom, tidak berkecuali dalam soal keadilan kemanusiaan. Jadi, saya menggesa rakyat Malaysia jangan izinkan isu ini untuk memecahbelahkan, perkotak-katikkan.
“Isu ini bukan saja sangat dekat dengan umat Islam, tetapi juga sangat dekat dengan kemanusiaan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Susulan itu, Perdana Menteri menyokong langkah Kementerian Pendidikan (KPM) yang mahu mendedahkan maklumat berhubung apa yang berlaku di Palestin kepada pelajar.
Anwar berkata, sebarang maklumat diberi kepada pelajar sekolah bukan secara paksaan, sebaliknya ia galakan untuk mereka mengikut perkembangan yang berlaku di Palestin.
“Tentu ada garis panduan supaya jangan kita menggalakkan sikap keganasan atau kebencian, tetapi pencerahan, fahaman apa berlaku, apa erti kezaliman dan penindasan,” katanya.
Sumber: Berita Harian