Terkini
Label Kerajaan Madani ‘No Action Talk Only’, Adam Adli jawab tuduhan Syed Saddiq
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim membidas kenyataan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatkan Kerajaan Madani diterajui Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) sebagai ‘Kerajaan NATO atau No Action Talk Only.’
- Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim membidas kenyataan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatkan Kerajaan Madani diterajui Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) sebagai ‘Kerajaan NATO atau No Action Talk Only.’
- Adam Adli yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan berkata, kesemua tiga perkara membabitkan peruntukan ahli parlimen pembangkang, pengisytiharan harta anggota kabinet dan pengguguran kes rasuah telah diperjelaskan di luar dan dalam Parlimen.
- Katanya, dalam isu pengisytiharan harta, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak Januari lalu menyatakan ketegasan beliau dan mengkritik amalan pengisytiharan sedia ada sebagai “sandiwara” atau “gimik”.
- “Dua perkara lain pula; pengguguran kes mahkamah yang tentu sekali saya yakin merujuk kepada kes Timbalan Perdana Menteri berbanding kes Pagoh; telah dijawab dalam Parlimen hari ini secara terperinci oleh YB Azalina Othman Said atas kapasiti beliau sebagai menteri yang menjaga undang-undang dan reformasi institusi, ditandai dengan komitmen kerajaan hari ini untuk memisahkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” kata Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
KUALA LUMPUR — Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim membidas kenyataan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatkan Kerajaan Madani diterajui Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) sebagai ‘Kerajaan NATO atau No Action Talk Only.’
Adam Adli yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan berkata, kesemua tiga perkara membabitkan peruntukan ahli parlimen pembangkang, pengisytiharan harta anggota kabinet dan pengguguran kes rasuah telah diperjelaskan di luar dan dalam Parlimen.
Beliau berkata dalam isu pengisytiharan harta, Perdana Menteri sejak Januari lalu menyatakan ketegasan beliau dan mengkritik amalan pengisytiharan sedia ada sebagai “sandiwara” atau “gimik”.
Katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengarahkan agar mekanisma lebih telus dan menyeluruh disiapkan, bukan sekadar isytihar tanpa format khusus.
“Tidak sekadar kenyataan media, ia disepakati menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 17 Bil. 1 Tahun 2023 yang dipengerusikan sendiri PM Julai lepas.
“Dua perkara lain pula; pengguguran kes mahkamah yang tentu sekali saya yakin merujuk kepada kes Timbalan Perdana Menteri berbanding kes Pagoh; telah dijawab dalam Parlimen hari ini secara terperinci oleh YB Azalina Othman Said atas kapasiti beliau sebagai menteri yang menjaga undang-undang dan reformasi institusi, ditandai dengan komitmen kerajaan hari ini untuk memisahkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Malah isu DNAA (melepas tanpa membebaskan) TPM juga telah dibawa kepada perhatian Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, selain bakal dijawab sendiri oleh PM dalam dewan esok (19 September),” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Menjawab dakwaan Syed Saddiq bahawa ahli parlimen blok pembangkang tidak mendapat sebarang peruntukan, Adam Adli berkata kelompok terbabit diingatkan berulang kali untuk berunding bersama Kerajaan, di mana langkah sama dibuat Pakatan Harapan dalam penggal pemerintahan lalu.
Katanya, bagaimanapun sehingga kini rundingan itu masih belum disambut, sebaliknya ia berulang kali digunakan sebagai modal untuk ‘bercakar’ dalam persidangan Dewan Rakyat.
Adam Adli, yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, tidak menafikan perkara itu turut berkemungkinan dijadikan modal untuk membohongi rakyat di kawasan pembangkang bagi memperlihatkan seolah-olah kerajaan ini zalim.
“Tertanya juga; bagaimana dengan peruntukan di Muar yang sempat berada dalam blok kerajaan. Sudah habis dibelanja atau bagaimana?
“Soal NATO – No Action Talk Only ini eloklah Saddiq jangan hanya cerminkan kepada perkara yang ikut selera beliau; cerminkan juga kepada dasar-dasar kebajikan rakyat yang dikemukakan menerusi Belanjawan 2023 yang lepas dan inisiatif yang sedang berjalan dalam menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah dan keperluan asas rakyat termasuk sekolah dan fasiliti kesihatan, bekalan air bersih, pemulihan ekonomi pasca pandemik, dan transisi tenaga yang bakal bermula kelak,” katanya. —- The Merdeka Times
Sumber : Facebook Adam Adli