Terkini
Kelantan didakwa miliki sumber mineral, unsur nadir bumi cecah RM125 bilion
Kelantan dipercayai memiliki sumber mineral dan unsur nadir bumi (REE) mencecah RM125 bilion daripada jumlah keseluruhan nilai RM700 bilion dalam negara.
- Kelantan dipercayai memiliki sumber mineral dan unsur nadir bumi (REE) mencecah RM125 bilion daripada jumlah keseluruhan nilai RM700 bilion dalam negara, kata Pengarah Pusat Penyelidikan Dan Perkhidmatan Gold Rare Earth And Mineral Technoprenuership Centre (GREAT) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Noor Fazliani Shoparwe.
- Ia sekaligus menjadikan negeri itu berpotensi mengembangkan sektor perlombongan dan industri berasaskan mineral di Malaysia.
- Pembangunan industri REE boleh memberi sokongan yang besar kepada industri REE hiliran yang akhirnya boleh berfungsi dengan kebolehcapaian sumber REE tempatan.
KOTA BHARU: Kelantan dipercayai memiliki sumber mineral dan unsur nadir bumi (REE) mencecah RM125 bilion daripada jumlah keseluruhan nilai RM700 bilion dalam negara.
Ia sekaligus menjadikan negeri itu berpotensi mengembangkan sektor perlombongan dan industri berasaskan mineral di Malaysia.
Pengarah Pusat Penyelidikan Dan Perkhidmatan Gold Rare Earth And Mineral Technoprenuership Centre (GREAT) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Noor Fazliani Shoparwe berkata, pembangunan industri REE boleh memberi sokongan yang besar kepada industri REE hiliran yang akhirnya boleh berfungsi dengan kebolehcapaian sumber REE tempatan.
Oleh itu, katanya, UMK menganjurkan Seminar Mengenai Sumber Mineral dan Teknologi (SMART) 2023 dan GREAT bersama Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT) dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kelantan bagi membentuk kerjasama antara agensi kerajaan dan pemain industri yang terbabit dalam sumber REE di kawasan berpotensi strategik.
“Sebanyak 159 penyertaan daripada pemain industri, institut pengajian tinggi (IPT), agensi kerajaan dan individu yang bertukar pandangan, pengalaman dan penyelidikan berkaitan REE bersama pakar,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Katanya, seminar bertemakan ‘Understanding The Potential and Challenges of Rare Earth Establishment Based Industries’ itu juga diadakan sempena persidangan International Conference on Bioengineering and Technology (IConBET 2023).
Seminar dirasmikan Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ir Ts.Dr Julie Juliewatty Mohamed mewakili Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Razali Che Razak.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Pengurusan Penyelidikan UMK, Prof Madya TS CHM Dr Abdul Hafidz Yusoff, Dekan FBKT, Prof Madya Dr Muhammad Azwadi Sulaiman dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Tuan Wan Mohd Husni Wan Osman.
Noor Fazliani berkata, empat panel menyampaikan syarahan berkaitan REE dan potensi dalam industri selain sesi dialog.
Katanya, penerokaan terhadap sumber mineral dan REE masih perlu diperluas kerana potensinya yang tinggi boleh menjana pendapatan negeri.
Sumber: Berita Harian