Terkini
Inisiatif sejuta al-Quran, gagasan penting Kerajaan Madani – PM
Inisiatif pencetakan dan pengedaran sejuta naskhah al-Quran adalah gagasan penting Kerajaan Madani dalam memberi makna kepada penghayatan Islam seterusnya memartabat umat dan negara.
- Inisiatif pencetakan dan pengedaran sejuta naskhah al-Quran adalah gagasan penting Kerajaan Madani dalam memberi makna penghayatan Islam, memartabat umat dan negara.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau yakin inisiatif ini meningkatkan kefahaman dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam.
- Beliau berkata, penerbitan dan percetakan al-Quran terjemahan serta majlis penghayatan al-Quran memberi makna penting supaya al-Quran memberi petunjuk kepada umat Islam.
- “Ada segelintir pihak bicara soal Islam dengan panas dan maki hamun malah, menganggap semua di negara Barat itu sesat tanpa apa-apa usaha mendidik dan memberi kefahaman,” katanya ketika berucap pada Majlis penghantaran tiga kontena al-Quran sempena Solidariti Wakaf Sejuta Naskhah Al-Quran berlangsung di Kompleks Nasyrul Quran, Presint 15, di sini hari ini.
- Percetakan dan pengedaran al-Quran oleh Yayasan Restu ketika ini baru memasuki fasa pertama menyasarkan 500,000 naskhah setiap fasa.
PUTRAJAYA: Inisiatif pencetakan dan pengedaran sejuta naskhah al-Quran adalah gagasan penting Kerajaan Madani dalam memberi makna kepada penghayatan Islam seterusnya memartabat umat dan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau yakin inisiatif ini dapat meningkatkan kefahaman dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam.
Beliau berkata, penerbitan dan percetakan al-Quran terjemahan serta majlis penghayatan al-Quran ini memberi makna penting supaya al-Quran dapat memberi petunjuk kepada umat Islam.
“Ada segelintir pihak bicara soal Islam dengan panas dan maki hamun malah, menganggap semua di negara Barat itu sesat tanpa apa-apa usaha mendidik dan memberi kefahaman.
“Ini yang saya cuba ungkap dalam Kerajaan Madani di mana soal nilai akhlak menjadi teras tertentu untuk agama khususnya al-Quran,” katanya ketika berucap pada Majlis penghantaran tiga kontena al-Quran sempena Solidariti Wakaf Sejuta Naskhah Al-Quran berlangsung di Kompleks Nasyrul Quran, Presint 15, di sini hari ini.
Katanya, beliau akui syukur melihat kemajuan yang dicapai oleh Yayasan Restu dalam usaha mencetak dan mengedar sejuta al-Quran ini.
Terdahulu, Anwar melepaskan konvoi penghantaran tiga kontena al-Quran sempena Solidariti Wakaf Sejuta Naskhah Al-Quran yang berlangsung di Kompleks Nasyrul Quran, Presint 15, di sini.
Program ini adalah rentetan pengumuman oleh Anwar untuk mencetak dan mengedarkan sejuta naskhah al-Quran melalui Yayasan Restu pada awal tahun ini.
Percetakan dan pengedaran al-Quran ketika ini baru memasuki fasa pertama yang menyasarkan 500,000 naskhah untuk setiap fasa.
Bagi fasa pertama, penerbitan dan percetakan yang sedang dilaksanakan membabitkan al-Quran dan terjemahan dalam bahasa Swedish, Inggeris, Sepanyol Latin, Mandarin, Khmer, Perancis, Tamil, Tagalog dan Hindi.
Penghantaran pertama al-Quran dan terjemahan Bahasa Khmer telah dihantar ke Kemboja pada 29 Mac lalu yang diserahkan sendiri kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.
Program hari ini membabitkan penghantaran 30,000 naskhah al-Quran dan terjemahan Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina ke Australia, Canada dan United Kingdom. – UTUSAN
Sumber: Utusan Malaysia