Connect with us

Terkini

Hampir semua sekolah di negara hadapi kekurangan guru- NUTP

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mendedahkan isu kekurangan guru yang sebelum ini dikaitkan dengan sekolah di pedalaman, sudah ‘menular’ ke institusi pendidikan itu di kawasan bandar.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Hampir semua sekolah di negara hadapi kekurangan guru- NUTP
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mendedahkan isu kekurangan guru yang sebelum ini dikaitkan dengan sekolah di pedalaman, sudah ‘menular’ ke institusi pendidikan itu di kawasan bandar.
  • Presidennya, Aminuddin Awang mendedahkan hampir semua sekolah di seluruh negara kini berdepan masalah kekurangan guru kerana tiada tenaga pengajar baharu ditempatkan bagi menggantikan mereka yang sudah bersara.
  • Dapatan itu diperoleh berdasarkan kira-kira 50 program turun padang dilaksanakan NUTP di seluruh negara sepanjang tahun ini dengan isu kekurangan guru menyumbang aduan tertinggi bagi setiap sesi.
  • Terdapat aduan diterima pihaknya, ada sekolah yang pernah mengalami kekurangan sehingga 10 guru pada satu masa, sekali gus menyebabkan bebanan kekosongan itu terpaksa ditanggung oleh tenaga pengajar lain.
  • Aminuddin mendakwa sekolah di seluruh negara mengalami kekurangan lebih 20,000 guru ketika ini dan perlu diselesaikan segera.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mendedahkan isu kekurangan guru yang sebelum ini dikaitkan dengan sekolah di pedalaman, sudah ‘menular’ ke institusi pendidikan itu di kawasan bandar.

Presidennya, Aminuddin Awang mendedahkan hampir semua sekolah di seluruh negara kini berdepan masalah kekurangan guru kerana tiada tenaga pengajar baharu ditempatkan bagi menggantikan mereka yang sudah bersara.

Dapatan itu diperoleh berdasarkan kira-kira 50 program turun padang dilaksanakan NUTP di seluruh negara sepanjang tahun ini dengan isu kekurangan guru menyumbang aduan tertinggi bagi setiap sesi.

Malah, beliau berkata, berdasarkan aduan diterima pihaknya, ada sekolah yang pernah mengalami kekurangan sehingga 10 guru pada satu masa, sekali gus menyebabkan bebanan kekosongan itu terpaksa ditanggung oleh tenaga pengajar lain.

“Boleh dikatakan hampir semua sekolah menghadapi kekurangan guru, termasuk sekolah dalam bandar. Taburan dari segi kekurangan guru kini bukan lagi hanya di luar bandar, pada setiap sesi turun padang diadakan, pasti ada aduan mengenainya.

“Apabila kita turun padang sesi bertemu ahli, kebanyakan aduan membabitkan guru yang sudah bersara belum diganti menyebabkan berlakunya kekurangan itu,” katanya kepada BH.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris antara paling ramai yang memohon bersara awal sejak dua tahun lalu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, ia diikuti oleh guru Matematik, Pendidikan Islam, Sains dan Sejarah dengan jumlah keseluruhan seramai 6,890 pegawai.

KPM juga sebelum ini, membuka pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 tahun 2023 bagi mengatasi masalah kekurangan guru membabitkan 19,000 kekosongan seluruh negara.

Ketika ini ada kira-kira 418,000 guru di seluruh negara yang ditempatkan di 10,225 sekolah rendah dan menengah.

Aminuddin mendakwa sekolah di seluruh negara mengalami kekurangan lebih 20,000 guru ketika ini dan perlu diselesaikan segera.

Beliau berkata, permohonan yang dikemukakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) kepada Jabatan Pendidikan Negeri kebiasaannya tidak dapat memenuhi kuota seperti yang diminta kerana kekurangan bekalan.

“Ketika mesyuarat kita ada bangkitkan dengan KPM dan kita hargai pengambilan seramai 19,000 guru itu tapi ia perlu dibuat lagi kerana jumlah itu belum mencukupi.

“Pengambilan guru baharu tidak selaras dengan keperluan, kita tidak menyalahkan KPM kerana bukan kuasa mereka untuk mendapatkan peruntukan bagi pengambilan guru, sebaliknya Kementerian Kewangan perlu memberikan peruntukan secukupnya,” katanya.

Beliau berkata, isu kekurangan guru kini menjadi masalah kritikal yang dikhuatiri boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) apabila beban guru bertambah.

Katanya, pertambahan beban guru juga dilihat menjadi antara punca ramai guru bersara awal selain kesukaran mengadaptasi dengan hal berkaitan teknologi.

“Kita melihat trend bersara awal ini sejak 10 tahun lalu apabila wujudnya perubahan sistem dan bebanan tugas yang bertambah.

“Jika dulu tiada kemudahan media sosial, namun kini malam pun guru menerima pesanan atau pertanyaan dari ibu bapa di aplikasi media sosial,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Aminuddin berkata, NUTP mahu pewartaan waktu bekerja harian bagi guru di negara ini melalui peruntukan undang-undang.

Beliau berkata, ketika ini tiada pewartaan waktu bekerja harian bagi guru, sebaliknya yang ada hanyalah 45 jam bekerja dalam tempoh seminggu.

“Tiada sebarang pekeliling ataupun peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996 berhubung waktu bekerja harian bagi guru yang sepatutnya dimasukkan untuk rujukan mereka.

“Kita sudah lama membangkitkan perkara ini sehingga sekarang tiada dokumen waktu sebenar guru bekerja sebaliknya yang ada hanyalah jumlah jam bekerja seminggu.

“Itu yang guru terpaksa bekerja hingga malam dan ada yang perlu datang pada hari Sabtu, sekali gus menyebabkan mereka tertekan dengan bebanan tugas,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *