Terkini
Cuaca tidak menentu, penyakit padi antara faktor bekalan beras putih tempatan terganggu
Cuaca tidak menentu dan penyakit padi sepanjang musim tuaian yang lepas iaitu antara April sehingga Ogos, menyebabkan bekalan beras putih tempatan dalam pasaran sedikit ‘terganggu’ di pasaran.
- Cuaca tidak menentu dan penyakit padi sepanjang musim tuaian yang lepas iaitu antara April sehingga Ogos, menyebabkan bekalan beras putih tempatan dalam pasaran sedikit ‘terganggu’ di pasaran.
- Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Mat Amin berkata kebiasaannya, secara purata hasil tuaian mampu mencecah tujuh metrik tan sehektar, namun untuk musim lepas ia menurun sehingga hanya empat metrik tan sehektar.
- Kekurangan bekalan beras putih tempatan menjadi lebih ketara selepas kenaikan harga beras import yang menyebabkan pengguna beralih kepada beras putih tempatan.
- “Ada juga sedikit yang terjejas pengeluarannya disebabkan banjir mengakibatkan hasil tidak dapat dituai. Selain itu faktor peralihan penggunaan turut menyumbang kepada situasi kekurangan bekalan ini,” katanya.
KUALA LUMPUR: Cuaca tidak menentu dan penyakit padi sepanjang musim tuaian yang lepas iaitu antara April sehingga Ogos, menyebabkan bekalan beras putih tempatan dalam pasaran sedikit ‘terganggu’ di pasaran.
Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Amir Mat Amin berkata kebiasaannya, secara purata hasil tuaian mampu mencecah tujuh metrik tan sehektar, namun untuk musim lepas ia menurun sehingga hanya empat metrik tan sehektar.
Kekurangan bekalan beras putih tempatan menjadi lebih ketara selepas kenaikan harga beras import yang menyebabkan pengguna beralih kepada beras putih tempatan.
“Ada juga sedikit yang terjejas pengeluarannya disebabkan banjir mengakibatkan hasil tidak dapat dituai. Selain itu faktor peralihan penggunaan turut menyumbang kepada situasi kekurangan bekalan ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Ini diakui beberapa peniaga dan pasar raya yang ditemui semasa tinjauan Bernama di Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan yang menyatakan bekalan beras putih tempatan dalam pasaran sememangnya berkurangan dan sukar diperoleh, ditambah dengan peningkatan permintaan berikutan kenaikan harga beras putih import sejak beberapa bulan lepas.
Pada awal September, Bernas menyelaraskan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 setan kepada RM3,200 setan sejajar harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.
Ini menyebabkan harga beras putih import melonjak daripada RM33 kepada RM39 berbanding beras putih tempatan yang dijual pada harga dikawal, iaitu sekitar RM2.60 sekilogram atau RM26 sekampit.
Bagaimanapun, situasi semasa kini, hampir tiada bekalan beras putih tempatan di kedai runcit atau pasar raya dan pengguna terpaksa membeli beras putih import yang lebih mahal khususnya bagi golongan B40.
Di SELANGOR, seorang pemilik syarikat beras yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Chong berkata ketiadaan bekalan beras putih tempatan perlu juga dilihat dari faktor musim padi di negeri itu yang akan memulakan tuaian pada pertengahan Oktober dan beras akan dijual pada awal November.
Berdasarkan tinjauan Bernama di beberapa pasar raya dan kedai runcit di sekitar Sungai Buloh dan Shah Alam juga mendapati tiada stok beras tempatan.
Di MELAKA, tinjauan di beberapa kedai runcit, pasar raya besar dan pasar raya di sekitar Ayer Keroh di sini, didapati rata-ratanya berdepan masalah ketiadaan bekalan beras putih tempatan dan keadaan ini memaksa peniaga makanan menaikkan sedikit harga nasi kerana menggunakan beras import.
Suri rumah Kamaria Ismail, 38, berkata dia terpaksa menggunakan beras import sejak tiga minggu lepas kerana sukar mendapat beras tempatan.
“Pek lima kilogram memang dah lama tak nampak dan 10 kilogram pula, saya sempat beli sekali dan lepas tu sudah tidak ada lagi. Jadi terpaksa beli juga beras import walaupun harganya mahal dan rasanya dah banyak kali naik,” katanya yang mengakui perbelanjaan dapurnya kini meningkat memandangkan beliau mempunyai empat orang anak.
Di PAHANG, peniaga Muhammad Yusuf Hashim, 40, berkata beliau tidak memperoleh bekalan beras tempatan sejak sebulan lepas, menyebabkan kedainya di Felda Selancar 2, Rompin hanya menjual beras import buat masa ini.
Usahanya untuk mendapatkan bekalan dari daerah berhampiran termasuk ke Segamat, Johor, juga gagal berikutan ketiadaan bekalan.
“Mulanya tak percaya juga, tapi bila kerap sangat bertanya, ada (pembekal) yang membawa saya ke tempat penyimpanan supaya dapat melihat sendiri tempat itu kosong,” katanya.
Seorang pengurus sebuah pasar raya besar di Kuantan yang enggan dikenali berkata bekalan beras tempatan di pasar raya itu mula bermasalah sejak pertengahan Ogos apabila jumlah yang dihantar pembekal berkurangan daripada kuantiti dipesan dan semakin buruk pada awal bulan ini.
Di KEDAH, Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata hasil semakan di 30 premis sekitar negeri mendapati beras Super Spesial Tempatan (SST) tiada di pasaran.
“Daripada semakan yang dijalankan di 30 premis itu hanya dua premis sahaja yang masih mempunyai beras SST, bagaimanapun kuantitinya sangat sedikit…dan benar bahawa hanya beras import yang berada di pasaran sekarang,” katanya.
Di PERAK, Pengurus Econsave Bercham GV Rakesh berkata kekurangan bekalan beras tempatan di pasar raya Econsave Bercham di Ipoh bukan satu perkara baharu bahkan telah berlaku sejak Jun lepas.
Beliau berkata kekurangan bekalan beras tempatan ini menjadi bertambah buruk sejak tiga minggu lalu disebabkan kenaikan harga beras import, selain pihak pengeluar tidak mampu menampung permintaan tinggi orang ramai.
“Kebiasaannya pihak kami mendapatkan bekalan sekitar 2,000 ke 3,000 kampit 10 kilogram (kg) dalam masa seminggu daripada pihak pengeluar… bekalan beras tempatan berkurangan melebihi 50 peratus daripada jumlah kebiasaan yang mampu kami peroleh,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga menjalankan catuan pembelian iaitu dua kampit bagi setiap pengguna bagi mengawal bekalan beras di pasar raya itu.
Di PULAU PINANG, beberapa peniaga kedai runcit memaklumkan mereka tidak mendapat bekalan beras putih tempatan daripada pemborong sejak minggu lepas dan jika ada, stoknya sekitar 10 hingga 20 kampit sahaja bagi bungkusan lima dan 10 kg.
Pemilik kedai runcit di Sungai Dua, Ahmad Ridzuan Ahmad Razak, 52, berkata beliau beberapa kali menghubungi pemborong sejak minggu lepas dan dimaklumkan mereka tidak mendapat stok daripada pengeluar ketika ini dan hanya mempunyai beras import sahaja.
“Saya tak pasti sama ada, ada pihak di rantaian pengeluaran beras itu menyorokkannya kerana mereka juga mendakwa tiada bekalan, malah saya juga ada ke pasar raya besar untuk beli beras putih tempatan untuk kedai runcit saya tapi tiada stok di sana,” katanya.
Berbeza di SARAWAK, tiada isu kekurangan bekalan beras putih tempatan kerana ia masih boleh didapati di kebanyakan pasar raya dan kedai runcit, namun harga jualan sedikit tinggi berbanding biasa.
Ini berdasarkan tinjauan di beberapa pasar raya di Kuching yang mendapati bekalan beras tempatan masih banyak serta mudah didapati, namun dijual pada harga RM40 ke atas. – BERNAMA
Sumber: Bernama