Terkini
Berikan 30 peratus import beras kepada syarikat lain, hapuskan monopoli BERNAS – Ahli Parlimen PH
Kerajaan dicadangkan memberi 30 peratus import beras kepada syarikat lain untuk bersaing dengan Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) sekali gus menghapuskan monopoli dalam industri padi dan beras.

- Kerajaan dicadangkan memberi 30 peratus import beras kepada syarikat lain untuk bersaing dengan Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) sekali gus menghapuskan monopoli dalam industri padi dan beras.
- Ahli Parlimen Bayan Baru dari PKR/Pakatan Harapan (PH), Sim Tze Tzin berkata penghapusan monopoli akan menjadikan sektor padi dan beras menjadi lebih baik.
- “Monopoli import beras putih mempunyai sekuriti makanan negara terletak pada satu-satu syarikat sahaja, monopoli subsidi baja oleh NAFAS menyebabkan semua petani menggunakan sejenis baja yang sama dari Perlis hingga ke Sabah — kalau kualiti baja tidak berkesan ia menjejaskan kesemua 200,000 pesawah dari Perlis ke Sabah,” katanya di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
- Tze Tzin berkata BERNAS sebagai syarikat monopoli yang ditugaskan mengimport beras import untuk memenuhi permintaan dan keperluan negara, didakwa gagal bertindak pantas dan proaktif dalam mengimport beras ketika harga di pasaran dunia masih rendah pada awal tahun ini.
KUALA LUMPUR — Kerajaan dicadangkan memberi 30 peratus import beras kepada syarikat lain untuk bersaing dengan Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) sekali gus menghapuskan monopoli dalam industri padi dan beras.
Ahli Parlimen Bayan Baru dari PKR/Pakatan Harapan (PH), Sim Tze Tzin berkata penghapusan monopoli akan menjadikan sektor padi dan beras menjadi lebih baik.
Katanya, kerajaan juga perlu mengkaji semula monopoli dalam sektor padi dan beras yang berlaku di Malaysia.
“Monopoli import beras putih mempunyai sekuriti makanan negara terletak pada satu-satu syarikat sahaja, monopoli subsidi baja oleh NAFAS menyebabkan semua petani menggunakan sejenis baja yang sama dari Perlis hingga ke Sabah — kalau kualiti baja tidak berkesan ia menjejaskan kesemua 200,000 pesawah dari Perlis ke Sabah.
“Maka saya menyeru Kerajaan membuka 30 peratus import beras kepada syarikat lain untuk bersaing dengan BERNAS, Kerajaan juga harus terus memberi subisidi kepada pesawah untuk membeli baja sendiri demi keadaan tapak sawah masing-masing.
“Penghapusan monopoli akan menjadikan sektor padi dan beras lebih sihat,” katanya di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Tze Tzin berkata BERNAS sebagai syarikat monopoli yang ditugaskan mengimport beras import untuk memenuhi permintaan dan keperluan negara, didakwa gagal bertindak pantas dan proaktif dalam mengimport beras ketika harga di pasaran dunia masih rendah pada awal tahun ini.
Katanya, kegagalan BERNAS itu menyebabkan rakyat menghadapi kenaikan kos makanan.
“Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, baru-baru ini India mengumumkan larangan eksport beras putih atas faktor cuaca dan pilihan raya. Beras import naik 40 peratus secara mendadak.
“Sekarang Malaysia hadapi masalah kekurangan beras tempatan dan terpaksa untuk membayar beras import yang mahal.
“Saya menyeru kerajaan menyiasat kegagalan BERNAS yang bertindak sebagai monopoli dan single gate keeper— kegagalan mereka yang menyebabkan rakyat menghadapi kenaikan kos makanan,” katanya yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Tze Tzin turut mencadangkan lima penyelesaian jangka pendek dan dua penyelesaian jangka panjang mereformasikan sektor padi dan beras kepada kerajaan.
Antara cadangan itu adalah meminta BERNAS melaksanakan tanggungjawab perjanjian mereka iaitu mengimport beras dalam kuantiti yang mencukupi bagi mengelakkan kekurangan bekalan beras.
Katanya, sekalipun berdepan kerugian syarikat itu perlu mengimport beras secukupnya demi sekuriti makanan negara.
“(cadangan) Kedua oleh sebab wujud perbezaan harga import dan beras tempatan, maka wujudlah sindiket tukar beg. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) haruslah mengambil tindakan penguatkuasaan kepada sindiket tukar beg yang semakin berleluasa,” kata Tze Tzin.
Sebelum ini, BERNAS dilaporkan menyelaraskan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 satu metrik tan kepada RM3,200 per metrik tan berkuat kuasa pada 1 September lalu.
Langkah pelarasan itu sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa. — The Merdeka Times
Sumber : Youtube Parlimen Malaysia
