Terkini
MAIWP berhujah tolak petisyen Nik Elin cabar Enakmen Jenayah Syariah Kelantan – Menteri Agama
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berhujah memohon Petisyen Pemohon bagi kes Nik Elin Zurina lawan Kerajaan Negeri Kelantan membabitkan cabaran Enakmen Jenayah Syariah Kelantan ditolak Mahkamah Persekutuan.

- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berhujah memohon Petisyen Pemohon bagi kes Nik Elin Zurina lawan Kerajaan Negeri Kelantan membabitkan cabaran Enakmen Jenayah Syariah Kelantan ditolak Mahkamah Persekutuan.
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara itu antara hujahan bertulis yang telah difailkan peguamcara dilantik MAIWP dalam kes itu, untuk pertimbangan Mahkamah Persekutuan.
- “Antara hujahan utama yang pihak MAIWP bangkitkan ialah: Kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang dicabar oleh pihak pemohon ini tidak pun bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan kerana ianya adalah masih dalam kesalahan Syariah;
- “Kerajaan Negeri adalah berkuasa untuk menggubal undang-undang Syariah yang dicabar tersebut sepertimana peruntukan Senarai II, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan; Oleh itu, MAIWP memohon agar Petisyen Pemohon ini ditolak oleh Mahkamah,” kata Mohd Na’im dalam kenyataan di Facebook beliau, semalam.
- Tahun lalu, seorang peguam kelahiran Kelantan (Nik Elin Zurina) dan anaknya mengemukakan cabaran Perlembagaan yang mendakwa 20 peruntukan terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah tidak sah kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan yang sama.
- Peruntukan dicabar itu antaranya melibatkan kesalahan-kesalahan seperti Dakwaan Palsu, Liwat, Gangguan Seksual, Berjudi, Perbuatan Sebagai Persediaan Untuk Melakukan Maksiat, Perbuatan Sumbang Mahram, Muncikari dan lain-lain.
- Semalam, panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang juga Ketua Hakim Negara, telah mendengar hujahan secara lisan daripada pihak Pempetisyen dan Responden bagi kes berkenaan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.
- Pendengaran kes itu disambung ke satu tarikh yang lain untuk mendengar hujahan lisan MAIWP selaku sahabat mahkamah (amicus curiae), lain-lain pihak yang dinamakan sahabat mahkamah dan pencelah.
KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berhujah memohon Petisyen Pemohon bagi kes Nik Elin Zurina lawan Kerajaan Negeri Kelantan membabitkan cabaran Enakmen Jenayah Syariah Kelantan ditolak Mahkamah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara itu antara hujahan bertulis yang telah difailkan peguamcara dilantik MAIWP dalam kes itu, untuk pertimbangan Mahkamah Persekutuan.
Katanya, Mahkamah Persekutuan membenarkan MAIWP menjadi sahabat mahkamah (amicus curiae) yang mana dengan status itu akan membawa efek sama seperti sekiranya MAIWP dijadikan sebagai Pencelah (intervener) dalam kes ini.
“Antara hujahan utama yang pihak MAIWP bangkitkan ialah: Kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang dicabar oleh pihak pemohon ini tidak pun bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan kerana ianya adalah masih dalam kesalahan Syariah;
“Kerajaan Negeri adalah berkuasa untuk menggubal undang-undang Syariah yang dicabar tersebut sepertimana peruntukan Senarai II, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan;
“Oleh itu, MAIWP memohon agar Petisyen Pemohon ini ditolak oleh Mahkamah,” kata Mohd Na’im dalam kenyataan media ‘Keabsahan undang-undang jenayah syariah menerusi kes di Mahkamah Persekutuan (Nik Elin Zurina lawan Kerajaan Negeri Kelantan) yang dikongsikan di Facebook beliau, semalam.
Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang juga Ketua Hakim Negara, telah mendengar hujahan secara lisan daripada pihak Pempetisyen dan Responden bagi kes berkenaan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, semalam.
“Pendengaran kes ini akan disambung ke satu tarikh yang lain untuk mendengar hujahan daripada pihak MAIWP dan lain-lain pihak yang dinamakan sebagai sahabat mahkamah (amicus curiae) dan pencelah,” kata Mohd Na’im.
(Amicus curiae bukan pihak dalam saman undang-undang, tetapi pihak yang dibenarkan untuk membantu mahkamah dengan memberi maklumat atau nasihat berkenaan beberapa perkara undang-undang yang secara langsung kepada kes itu).
Tahun lalu, seorang peguam kelahiran Kelantan (Nik Elin Zurina) dan anaknya mengemukakan cabaran Perlembagaan yang mendakwa 20 peruntukan terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah tidak sah kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan yang sama.
Peruntukan dicabar itu antaranya melibatkan kesalahan-kesalahan seperti Dakwaan Palsu, Liwat, Gangguan Seksual, Berjudi, Perbuatan Sebagai Persediaan Untuk Melakukan Maksiat, Perbuatan Sumbang Mahram, Muncikari dan lain-lain.
“Pokok cabarannya adalah bahawa kesalahan ini adalah dalam bidang kuasa Persekutuan dan tindakan DUN mengkanunkan undang-undang ini adalah di luar bidang kuasa Negeri,” kata Mohd Na’im.
Menteri agama itu juga mengulangi penegasannya bahawa kerajaan akan terus mempertahankan agama Islam dan undang-undang syariah dengan menggunakan segala saluran yang dibenarkan undang-undang.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga percaya kepada kebebasan dan keadilan sistem kehakiman di Malaysia,” katanya. – The Merdeka Times
