Terkini
MUDA jual otak-otak Muar, kumpul dana hadapi PRN
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) melancarkan inisiatif MUDA Hustle dalam usaha mengumpul dana bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
- Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) melancarkan inisiatif MUDA Hustle dalam usaha mengumpul dana bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
- Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, berkata usaha dilakukan kerana partinya bukan sebahagian mana-mana kerajaan negeri.
- Ia akan dilakukan 100 peratus secara maya menerusi platform media sosial dengan bermula menjual otak-otak Muar secara dalam talian diikuti oleh pimpinan lain.
- “Usaha ini bukan dijalankan oleh saya saja, tetapi turut membabitkan pemimpin MUDA dan akar umbi lain di setiap kawasan memandangkan parti ini perlu mencari wang untuk deposit dan kempen PRN nanti,” katanya pada sidang media, di ibu pejabat MUDA, di sini hari ini.
- Beliau berkata, MUDA sudah biasa melaksanakan inisiatif seperti ini dalam usaha meraih dana dan yakin usahanya akan membuahkan hasil.
KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) melancarkan inisiatif MUDA Hustle dalam usaha mengumpul dana bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, berkata usaha dilakukan kerana partinya bukan sebahagian mana-mana kerajaan negeri.
Katanya, ia akan dilakukan 100 peratus secara maya menerusi platform media sosial dengan bermula menjual otak-otak Muar secara dalam talian diikuti oleh pimpinan yang lain.
“Usaha ini bukan dijalankan oleh saya saja, tetapi turut membabitkan pemimpin MUDA dan akar umbi lain di setiap kawasan memandangkan parti ini perlu mencari wang untuk deposit dan kempen PRN nanti.
“Setiap seorang ahli akan membabitkan diri tanpa menggunakan kos yang tinggi dan wang akan disalurkan kepada akaun parti.
“Apabila kita mempunyai kewangan yang baik, kita boleh fokus dalam memajukan Malaysia dan menawarkan parti ini sebagai semak dan imbang kepada mereka yang berkuasa di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya pada sidang media, di ibu pejabat MUDA, di sini hari ini.
Beliau berkata, MUDA sudah biasa melaksanakan inisiatif seperti ini dalam usaha meraih dana dan yakin usahanya akan membuahkan hasil.
“MUDA selama ini memang parti yang bergantung kepada sumbangan kecil daripada orang ramai.
“Sebelum ini, kami berjaya mengumpul dana ramai hampir RM3 juta untuk menjalankan operasi harian dan menyokong golongan kurang berkemampuan,” katanya yang menyasarkan sekurang-kurangnya untuk menampung deposit dan bahan kempen di setiap kerusi yang ditandingi pada PRN nanti.
Bagaimanapun, katanya beliau tetap akan cuba mengurangkan kos melalui kempen digital kerana pada akhirnya rakyat tidak tengok kain rentang atau sepanduk mana yang hebat.
“Sebaliknya rakyat nak tengok apakah dasar terbaik, calon dan ideologi yang ingin diperkenalkan,” katanya.
Sumber: Berita Harian