Antarabangsa
Mahkamah Israel bebaskan polis tembak mati lelaki autistik Palestin
Mahkamah Israel membebaskan seorang pegawai polis yang didakwa melakukan pembunuhan melulu selepas menembak maut seorang lelaki Palestin autistik di Baitulmaqdis Timur yang diduduki pada 2020.

- Mahkamah Israel bebaskan seorang pegawai polis didakwa melakukan pembunuhan melulu selepas menembak maut seorang lelaki Palestin autistik di Baitulmaqdis Timur yang diduduki pada 2020.
- Mahkamah pada Khamis berkata, pegawai itu bertindak untuk mempertahankan diri apabila dia menembak dan membunuh Eyad al-Hallaq yang berusia 32 tahun pada 30 Mei tahun itu.
- “Pegawai itu membuat kesilapan jujur memikirkan dia berdepan dengan penyerang yang menimbulkan bahaya,” kata mahkamah, sambil memaklumkan dia telah menyatakan kekesalan atas kesilapannya.
- Eyad ditembak ketika berjalan di Kota Lama Baitulmaqdis Timur. Keluarganya berkata, anak lelaki mereka mempunyai masalah mental sudah lapan tahun, dan saksi berkata dia panik selepas dijerit oleh polis.
- Pada masa itu, Presiden Palestin Mahmoud Abbas menyebut kematian Eyad sebagai ‘jenayah perang’ dan ‘pembunuhan’.
TEL AVIV, 18 Zulhijjah 1444H, Jumaat – Mahkamah Israel membebaskan seorang pegawai polis yang didakwa melakukan pembunuhan melulu selepas menembak maut seorang lelaki Palestin autistik di Baitulmaqdis Timur yang diduduki pada 2020.
Mahkamah pada Khamis berkata, pegawai itu bertindak untuk mempertahankan diri apabila dia menembak dan membunuh Eyad al-Hallaq yang berusia 32 tahun pada 30 Mei tahun itu.
“Pegawai itu membuat kesilapan jujur memikirkan dia berdepan dengan penyerang yang menimbulkan bahaya,” kata mahkamah, sambil memaklumkan dia telah menyatakan kekesalan atas kesilapannya.
Mahkamah kononnya berkata, pegawai itu, yang namanya tidak didedahkan kepada umum, bertindak dengan ‘niat baik’ apabila dia menembak Eyad.
Pegawai itu didakwa pada Jun 2021 selepas pihak berkuasa mendakwa dia tidak mematuhi peraturan polis untuk melepaskan tembakan dan Eyad tidak mendatangkan bahaya kepada orang awam di tempat kejadian.
Eyad ditembak ketika berjalan di Kota Lama Baitulmaqdis Timur. Keluarganya berkata, anak lelaki mereka mempunyai masalah mental sudah lapan tahun, dan saksi berkata dia panik selepas dijerit oleh polis.
Keluarga Eyad telah lama mengkritik siasatan Israel terhadap pembunuhan itu.
Selepas keputusan itu diputuskan, ibu Eyad, Rana, keluar dari bilik mahkamah sambil menangis.
“Eyad kini di dalam kubur dan pembunuhnya sedang berehat dan keluar bersenang-lenang, ini sangat tidak adil,” katanya, duduk di sebelah potret anaknya.
Rana menggambarkan anaknya sebagai seorang yang taat, dan dia percaya anaknya takut apabila empat pegawai polis Israel berlari di belakangnya.
Pada masa itu, Presiden Palestin Mahmoud Abbas menyebut kematian Eyad sebagai ‘jenayah perang’ dan ‘pembunuhan’.
Pengebumian Eyad menarik ribuan orang berkabung, manakala tanda pagar dalam talian #PalestinianLivesMatter tersebar meluas.
Kematian Eyad menandakan kemarahan dan protes besar-besaran terhadap keganasan polis Israel. – Agensi
Sumber: Ismaweb
