Antarabangsa
Lelaki warga emas dibunuh lelaki bersenjata ketika dalam perjalanan ke masjid
Lelaki yang ditembak dan dibunuh lelaki bersenjata yang menunggang skuter melalui New York City, Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu lalu, dikenal pasti sebagai Hamod Ali Saeidi, seorang warga emas berusia 87 tahun yang dalam perjalanan untuk menunaikan solat di masjid.
- Lelaki yang ditembak dan dibunuh lelaki bersenjata yang menunggang skuter melalui New York City, Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu lalu, dikenal pasti sebagai Hamod Ali Saeidi, seorang warga emas berusia 87 tahun yang dalam perjalanan untuk menunaikan solat di masjid.
- Hamod adalah salah seorang daripada empat individu ditembak pada Sabtu lalu oleh lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan secara rawak selama setengah jam di seluruh Brooklyn dan Queens sebelum dia ditahan pihak polis.
- Rakaman kejadian menunjukkan pembunuh itu datang dari belakang dan menembak Hamod di belakang.
- Suspek, Thomas Abreu didakwa pihak polis pada Ahad atas pertuduhan pembunuhan, cubaan membunuh dan memiliki senjata jenayah.
Lelaki yang ditembak dan dibunuh lelaki bersenjata yang menunggang skuter melalui New York City, Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu lalu, dikenal pasti sebagai Hamod Ali Saeidi, seorang warga emas berusia 87 tahun yang dalam perjalanan untuk menunaikan solat di masjid.
Hamod digambarkan sebagai seorang penyayang dan merendah diri yang berada di “tempat yang salah pada masa yang salah,” kata cucunya kepada Washington Post.
Menurut laporan The Messenger, Hamod adalah salah seorang daripada empat individu ditembak pada Sabtu lalu oleh lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan secara rawak selama setengah jam di seluruh Brooklyn dan Queens sebelum dia ditahan pihak polis.
Cucu Saeidi, Waseem berkata, datuknya adalah seorang yang aktif untuk usianya dan tidak mahu menaiki keretanya kerana lebih suka berjalan kaki.
Setiap hari, warga emas itu akan berjalan kaki sepanjang 15 blok ke masjid untuk solat zohor.
Semasa berada di sana, dia akan berdoa dan melawat rakan-rakan, kata Waseem sambil menyatakan walau apapun datuknya lakukan, dia sentiasa akan menjawab panggilan telefon isterinya.
Sabtu lalu, ia merupakan kali pertama mangsa tidak menjawab panggilan telefon isterinya itu.
“Dia berjalan sepanjang masa. Dia selalu memberitahu saya bahawa dia sangat bangga berjalan, ‘Saya berjalan tiga batu sehari. Saya berjalan empat batu sehari,’ dan begitulah seterusnya,” kata seorang jiran, Avraham Gaon, kepada New York Daily News.
Hamod, yang berhijrah dari Yaman pada 1962, datang ke AS untuk mencari “kehidupan baru,” kata anaknya, Ahmed Alsaedi.
Dalam pada itu, ratusan orang menghadiri pengebumiannya pada Ahad di pusat komuniti di Bronx.
Rakaman kejadian menunjukkan pembunuh itu datang dari belakang dan menembak Hamod di belakang.
Hamod kemudian dilihat bergelut untuk berdiri dan rebah ketika orang ramai cuba membantunya dan dilaporkan meninggal dunia di hospital berdekatan.
Suspek, Thomas Abreu didakwa pihak polis pada Ahad atas pertuduhan pembunuhan, cubaan membunuh dan memiliki senjata jenayah.
Sumber: The Messenger