Terkini
‘Lebih daripada seorang ahli politik disyaki lindungi judi haram’ – SPRM
Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan ada ahli politik melindungi kegiatan judi haram dalam talian di negara ini, adalah membabitkan lebih daripada seorang ahli politik.
- Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan ada ahli politik melindungi kegiatan judi haram dalam talian di negara ini, adalah membabitkan lebih daripada seorang ahli politik.
- Mengesahkan perkara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan pihaknya tidak boleh mendedahkan identiti ahli politik atau parti disertai suspek berkenaan kerana siasatan masih berjalan.
- “Kita sedang siasat perkara ini. Laporan (ahli politik lindungi kegiatan judi haram) baru dibuat dalam bulan lepas, jadi kita masih lagi mengumpul maklumat.
- “Ada beberapa (ahli politik) dalam kalangan mereka (yang disyaki menaungi kegiatan judi haram), tapi saya tak boleh kata ramai atau tidak kerana nanti dimanipulasi banyak pihak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Integriti Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di WTCKL di sini, hari ini.
- Pada 15 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan terdapat ahli politik disyaki terbabit melindungi kegiatan judi haram secara dalam talian.
KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan ada ahli politik melindungi kegiatan judi haram dalam talian di negara ini, adalah membabitkan lebih daripada seorang ahli politik.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan pihaknya tidak boleh mendedahkan identiti ahli politik atau parti yang disertai suspek berkenaan kerana siasatan masih berjalan.
“Kita sedang siasat perkara ini. Laporan (ahli politik lindungi kegiatan judi haram) baru dibuat dalam bulan lepas, jadi kita masih lagi mengumpul maklumat.
“Kita tak boleh dedahkan siapa ahli politik berkenaan, tapi saya boleh sahkan siasatan memang sedang dijalankan. Kalau terbukti, ia adalah satu kesalahan.
“Ada beberapa (ahli politik) dalam kalangan mereka (yang disyaki menaungi kegiatan judi haram), tapi saya tak boleh kata ramai atau tidak kerana nanti dimanipulasi banyak pihak.
“Itu (parti kerajaan atau pembangkang) pun saya tak boleh nak kata. Ahli politik itu, ahli politiklah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Integriti Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di WTCKL di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah ahli politik yang disyaki terbabit melindungi kegiatan judi haram secara dalam talian, seperti didedahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat.
Pada 15 Jun lalu, Saifuddin ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Menteri mengesahkan kegiatan perjudian dalam talian haram di negara ini dinaungi pemimpin politik, dan ia menjadi kekangan terbesar kepada Polis Diraja Malaysia (PRDM) dan kerajaan untuk membanteras jenayah berkenaan.
Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dilaporkan berkata, PDRM berkongsi maklumat bersama SPRM dalam menyiasat pendedahan pembabitan pemimpin politik dengan aktiviti judi dalam talian.
Perkongsian berkenaan bertujuan untuk menentusahkan pendedahan dibuat Saifuddin Nasution, selain menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.
Pada masa sama, SPRM juga sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan mengenai parti politik tertentu dibiayai atau ditaja oleh syarikat perjudian.
Sumber: Berita Harian