Terkini
KPT nafi syarat ketat pinjaman, biasiswa faktor lepasan SPM tidak lanjut pengajian
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan dakwaan kononnya syarat ketat pinjaman dan biasiswa menjadi faktor pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak memilih untuk melanjutkan pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan dakwaan kononnya syarat ketat pinjaman dan biasiswa menjadi faktor pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak memilih untuk melanjutkan pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
- Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata hal ini kerana kementerian telah memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) yang membantu mahasiswa wakil pertama daripada keluarga berpendapatan rendah B40 dengan pengecualian sepenuhnya yuran pengajian di semua universiti awam.
- Beliau berkata kemudahan pinjaman seperti di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pula hanya berdasarkan kepada pendapatan ibu bapa.
JOHOR BAHRU — Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan dakwaan kononnya syarat ketat pinjaman dan biasiswa menjadi faktor pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak memilih untuk melanjutkan pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata hal ini kerana kementerian telah memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) yang membantu mahasiswa wakil pertama daripada keluarga berpendapatan rendah B40 dengan pengecualian sepenuhnya yuran pengajian di semua universiti awam.
Beliau berkata kemudahan pinjaman seperti di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pula hanya berdasarkan kepada pendapatan ibu bapa.
“Kalau ada pihak kata syarat biasiswa atau pinjaman ketat, saya ingat pelajar SPM yang tidak masuk ke IPT itu adalah mungkin disebabkan kerana mereka tidak lulus.
“…atau mereka mohon atau pilih subjek yang tidak sesuai kelayakan, pelajar perlu masuk ke IPT dahulu dan selepas itu baru lihat sama ada mereka boleh dapat pinjaman atau tidak,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerjanya ke Politeknik Ibrahim Sultan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan persatuan mahasiswa bahawa syarat ketat dikenakan untuk permohonan biasiswa atau pinjaman menjadi faktor yang menyebabkan ramai lepasan SPM memilih tidak melanjutkan pengajian di IPT.
Presiden Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya Nur Nazirah Abdullah dilaporkan berkata faktor utama pelajar lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran adalah sumber kewangan tidak mencukupi, selain turut mengesyorkan agar kerajaan melaksanakan lebih banyak inisiatif bantuan kewangan atau membuat pelan yang memberi jaminan kewangan kepada pelajar.
Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai kemasukan pelajar pelarian Rohingya di IPT, beliau mengulangi bahawa kemasukan itu hanya bagi yang berkelayakan selain mampu untuk membayar yuran pengajian.
Beliau berkata ramai pelajar antarabangsa yang menyambung pengajian di Malaysia dan pelarian etnik itu tidak terkecuali. — BERNAMA
Sumber: Bernama