Connect with us

Terkini

KPM, JPN kesan pelajar bermula sekarang, pastikan duduki SPM 2023 – Fadhlina

Kementerian Pendidikan (KPM) sedang bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi mengesan keberadaan semua pelajar Tingkatan Lima di seluruh negara bagi memastikan mereka menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

KPM, JPN kesan pelajar bermula sekarang, pastikan duduki SPM 2023 – Fadhlina
Foto: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
  • Kementerian Pendidikan (KPM) sedang bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi mengesan keberadaan semua pelajar Tingkatan Lima di seluruh negara bagi memastikan mereka menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
  • Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata ia antara langkah intervensi menyeluruh yang dilakukan kementeriannya berhubung isu ketidakhadiran pelajar menduduki SPM.
  • “Tindakan sudah dilakukan mulai hari ini (Rabu), kita minta semua JPN kesan keberadaan calon SPM dan pastikan mereka hadir ke sekolah untuk peperiksaan SPM 2023.
  • “(Dengan tindakan ini) daripada awal kita boleh pantau kehadiran mereka, sekali gus dapat mengatasi masalah ketidakhadiran pelajar mengambil SPM,” katanya kepada media selepas merasmikan Projek Peguam Bela Keadilan Rakyat di Dewan Serbaguna PJS 1/35 di sini, kelmarin.
  • Sebelum ini dilaporkan sejumlah 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 dan mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran, tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi mengesan keberadaan semua pelajar Tingkatan Lima di seluruh negara bagi memastikan mereka menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata ia antara langkah intervensi menyeluruh yang dilakukan kementeriannya berhubung isu ketidakhadiran pelajar menduduki SPM.

Beliau berkata, KPM juga akan mengkaji isu calon tidak layak mendapat sijil kerana gagal mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sejarah atau kedua-duanya.

“Tindakan sudah dilakukan mulai hari ini (Rabu), kita minta semua JPN kesan keberadaan calon SPM dan pastikan mereka hadir ke sekolah untuk peperiksaan SPM 2023.

“(Dengan tindakan ini) daripada awal kita boleh pantau kehadiran mereka, sekali gus dapat mengatasi masalah ketidakhadiran pelajar mengambil SPM,” katanya kepada media selepas merasmikan Projek Peguam Bela Keadilan Rakyat di Dewan Serbaguna PJS 1/35 di sini, semalam.

Sebelum ini dilaporkan sejumlah 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 dan mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran, tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Berdasarkan analisis KPM, calon yang tidak hadir peperiksaan tahun lalu bertambah berbanding calon SPM 2021 yang merekodkan 10,681 atau 2.7 peratus calon berdaftar.

KPM turut mengenal pasti 8.4 peratus daripada keseluruhan calon SPM 2022 tidak layak mendapat sijil berikutan gagal mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sejarah atau kedua-duanya.

Fadhlina berkata, ketika ini pihaknya enggan terlalu fokus kepada isu kegagalan kerana pelajar yang layak mendapat sijil adalah lebih ramai iaitu lebih 90 peratus dan mereka itu yang perlu diberi tumpuan.

Malah, katanya, berkaitan isu tidak layak mendapat sijil pula, pihaknya juga sudah melakukan intervensi bagi memastikan ada program ulangan untuk SPM.

“Sebab itu kita umumkan semalam (Selasa) hapuskan yuran ulangan jadi mereka boleh daftar dan ambil SPM ulangan.

“Kita juga kena fokus intervensi lain juga selepas ini kerana penting juga kita lihat dari segi kejayaan ini untuk ke hadapan, jadi kita sedang lakukan semua intervensi supaya SPM 2023 menjadi lebih baik.

“Intervensi lain yang turut kita lakukan adalah tingkatkan keupayaan membaca, menulis, mata pelajaran, keupayaan dan latihan guru serta penumpuan kepada subjek yang perlukan lonjakan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai hampir separuh daripada pelajar lemah dalam Matematik berdasarkan keputusan SPM 2022, beliau berkata, terdapat banyak faktor menyebabkan perkara itu.

Namun, katanya, pihaknya tidak melihat pada subjek Matematik saja kerana ia tidak adil berikutan intervensi yang dilakukan adalah bagi semua mata pelajaran.

“Saya nak tekankan, semua guru sedang lakukan sedaya upaya untuk pastikan setiap subjek diberikan penekanan, Insya-Allah dari semasa ke semasa kita akan lakukan lebih banyak untuk tingkatkan subjek itu.

“Saya rasa tidak adil untuk terus dibawa naratif kegagalan, ia tidak tepat kerana kita ada unjuran dan kekuatan anak murid yang kita lihat boleh dilonjakkan lagi. Jangan risau,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author