Terkini
Khutbah Arafah ajak jemaah buang sikap keakuan, sifat takbur
Umat Islam, khususnya jemaah haji Malaysia dinasihatkan menginsafi kekurangan serta kelemahan diri sebagai hamba Allah SWT, sekali gus meninggalkan sikap keakuan dengan menyerah sepenuh keabdian dan ketaatan hanya kepada-Nya.
- Umat Islam, khususnya jemaah haji Malaysia dinasihatkan menginsafi kekurangan serta kelemahan diri sebagai hamba Allah SWT, sekali gus meninggalkan sikap keakuan dengan menyerah sepenuh keabdian dan ketaatan hanya kepada-Nya.
- Khutbah Arafah bertajuk ‘Umat Yang Satu’ disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar kepada jemaah Malaysia yang berwukuf di bumi Arafah, hari ini, menekankan kepentingan perkara itu kepada seluruh Dhuyufurrahman tanpa mengira latar belakang mereka.
- “Bersikap rendah dirilah sesama kita. Buang sifat takbur yang bersarang dalam diri. Jangan berasa diri kita lebih baik, lebih mulia dan lebih besar berbanding orang lain.
- “Ingatlah bahawa sikap keakuan ini yang telah mencampakkan iblis dan syaitan menjadi makhluk-Nya yang ingkar ketika disuruh sujud kepada Nabi Adam AS.
- Mohd Na’im sekali gus mengajak jemaah Malaysia agar bersyukur kerana terpilih dalam kalangan berbilion umat Islam di dunia kini untuk menjadi tetamu Allah SWT dan dapat menunaikan kemuncak ibadah haji dengan berwukuf di Arafah.
- Terdahulu, Mohd Na’im meluangkan masa selama kira-kira dua jam untuk menyantuni dan beramah mesra dengan jemaah Malaysia di khemah Arafah, dengan turut diiringi Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman; serta Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
ARAFAH: Umat Islam, khususnya jemaah haji Malaysia dinasihatkan menginsafi kekurangan serta kelemahan diri sebagai hamba Allah SWT, sekali gus meninggalkan sikap keakuan dengan menyerah sepenuh keabdian dan ketaatan hanya kepada-Nya.
Khutbah Arafah bertajuk ‘Umat Yang Satu’ disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar kepada jemaah Malaysia yang berwukuf di bumi Arafah, hari ini, menekankan kepentingan perkara itu kepada seluruh Dhuyufurrahman tanpa mengira latar belakang mereka.
“Bersikap rendah dirilah sesama kita. Buang sifat takbur yang bersarang dalam diri. Jangan berasa diri kita lebih baik, lebih mulia dan lebih besar berbanding orang lain.
“Ingatlah bahawa sikap keakuan ini yang telah mencampakkan iblis dan syaitan menjadi makhluk-Nya yang ingkar ketika disuruh sujud kepada Nabi Adam AS.
“Lihatlah pada diri kita ketika ini… hanya memakai dua kain putih (kain ihram) yang menjadi simbol ketidakmampuan serta penyerahan diri kepada Allah SWT. Ia merupakan lambang kesamarataan kita di hadapan Allah SWT.
“Harta, jawatan dan rupa paras bukanlah kelebihan yang menjadi ukuran, namun hanya ketakwaan jua yang dilihat Allah SWT,” katanya.
Mohd Na’im sekali gus mengajak jemaah Malaysia agar bersyukur kerana terpilih dalam kalangan berbilion umat Islam di dunia kini untuk menjadi tetamu Allah SWT dan dapat menunaikan kemuncak ibadah haji dengan berwukuf di Arafah.
Beliau berkata, ia adalah nikmat dan anugerah sangat besar kerana terdapat umat Islam yang sihat tubuh badan tetapi belum mampu dari segi kewangan untuk menunaikan haji, begitu juga ada yang berkemampuan dari segi kewangan tetapi mengalami kekangan kesihatan.
“Kita adalah hamba Allah yang berlumuran dosa sama ada dilakukan secara tersembunyi atau terbuka. Namun, Allah SWT tetap mengasihi serta menyayangi kita dan pintu taubat sentiasa terbuka. Alhamdulillah, Allah SWT menjemput kita datang ke Tanah Suci untuk menunaikan haji pada tahun ini . Datang dengan jiwa menginsafi diri dan bertalbiah sepenuh hati,” katanya.
Sambil kongsikan wasiat terakhir Rasulullah SAW dalam Khutbah al-Wada yang dibacakan di Wadi Uranah pada tanggal 9 Zulhijjah tahun ke-10 Hijrah, Mohd Na’im mengajak jemaah mengadu, memohon bersungguh-sungguh dan bermunajat dengan sebenar-benar pengharapan kepada Allah SWT.
Beliau turut menasihati mereka agar pulang ke tanah air kelak dengan semangat baharu untuk terus istiqamah menjadi hamba-Nya yang bertakwa, sekali gus menjalani lembaran hidup baharu yang suci daripada dosa dan noda.
Terdahulu, Mohd Na’im meluangkan masa selama kira-kira dua jam untuk menyantuni dan beramah mesra dengan jemaah Malaysia di khemah Arafah, dengan turut diiringi Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman; serta Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Bercakap pada sidang media selepas itu, beliau berkata, jemaah Malaysia yang ditemui rata-rata menzahirkan perasaan berpuas hati atas perkhidmatan diberikan TH dalam operasi haji.
“Bagaimanapun, TH sentiasa terbuka kepada sebarang cadangan penambahbaikan,” katanya sambil memaklumkan pergerakan 31,600 jemaah Malaysia yang dibawa dari Makkah ke Arafah bermula jam 7.49 pagi semalam hingga selesai jam 1.03 pagi tadi telah berjalan lancar.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa program Safari Wukuf pada musim haji ini membabitkan 54 pesakit dari Pusat Rawatan TH Makkah yang dibawa bersama 94 petugas menggunakan enam bas khas dengan diiringi ambulans.
Selain itu, 46 jemaah pula dibantu 50 petugas haji sepanjang tempoh masyair bawah Program Prihatin Tetamu Ar-Rahman (PENEMAN).
Sumber: Berita Harian