Terkini
Dua aktivis #JusticeforBella fail saman terhadap individu didakwa sebar fitnah
Dua aktivis gerakan #JusticeforBella hari ini memfailkan satu saman di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap seorang individu yang didakwa menyiarkan kenyataan fitnah di Facebook (FB).
- Dua aktivis gerakan #JusticeforBella, Che Muna Din atau Mona Din dan Zurianty Sudin hari ini memfailkan satu saman di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap seorang pengguna FB di bawah nama ‘Nurul Hayati Hassan’ yang didakwa menyiarkan kenyataan fitnah di Facebook (FB).
- Fail saman tersebut berhubung gerakan pembelaan untuk keadilan kes pengabaian dan penganiayaan remaja perempuan Sindrom Down, Bella yang membabitkan pelakunya iaitu pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.
- “Kenyataan itu menyebut Zurianty dan Mona Din adalah pemfitnah terbesar. Zurianty ambil video Bella sebulan selepas kena air panas. Mona Din siap ajar Zurianty supaya berbohong supaya kes jadi viral.
- ‘“Mona Din dan Zurianty telah menipu masyarakat umum dalam mengetengahkan isu Bella ini di belakang gerakan #JusticeforBella,” kata Mona Din dalam sidang media hari ini.
KUALA LUMPUR – Dua aktivis gerakan #JusticeforBella hari ini memfailkan satu saman di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap seorang individu yang didakwa menyiarkan kenyataan fitnah di Facebook (FB).
Aktivis berkenaan, Che Muna Din atau Mona Din dan Zurianty Sudin memfailkan saman berkenaan selepas mendakwa terdapat penerbitan fitnah oleh pengguna FB di bawah nama ‘Nurul Hayati Hassan’ terhadap mereka khususnya berhubung gerakan pembelaan untuk keadilan kes pengabaian dan penganiayaan remaja perempuan Sindrom Down, Bella yang membabitkan pelakunya iaitu pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.
Mona Din berkata, penerbitan fitnah itu secara nyata, jelas bersifat tidak benar, palsu, bertujuan memfitnah dan menjatuhkan reputasi mereka secara individu serta selaku aktivis sosial.
“Pada tarikh 23 Mei 2023, seorang individu di laman sosial media FB di bawah nama pengguna ‘Nurul Hayati Hassan’ menerbitkan pernyataan fitnah melalui satu posting yang mencatatkan nama kami berdua dan atau secara langsung dan tidak langsung merujuk kepada kami.
“Kenyataan itu menyebut Zurianty dan Mona Din adalah pemfitnah terbesar. Zurianty ambil video Bella sebulan selepas kena air panas. Mona Din siap ajar Zurianty supaya berbohong supaya kes jadi viral.
” Zurianty ada motif fitnah Bainun sebab dia mahukan rumah Bonda supaya dia dapat ‘all the glory’ dan mahukan hak penjagaan pada Jane, seorang anak angkat di rumah Bonda.
“Mona Din dan Zurianty telah menipu masyarakat umum dalam mengetengahkan isu Bella ini di belakang gerakan #JusticeforBella,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau turut ditemani barisan peguam termasuk Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar dari Tetuan Akmal Shamsul Kahar & Co (ASKCO) selain seorang daripada empat peguam lantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim, Datuk Khairul Anwar Rahmat yang sebelum ini menyertai perbicaraan kes Bella.
Mona Din berkata, saman difailkan hari ini adalah susulan perbincangan yang sudah dilakukan dengan peguam ASKCO berkenaan perundangan yang berkaitan.
“Kami merasa bahawa adalah sangat perlu langkah tepat diambil segera bagi menegakkan kebenaran dan memulihkan reputasi kami.
“Malah, jauh lebih penting daripada reputasi kami adalah bagi memastikan bahawa gerakan atau pasukan #JusticeforBella adalah terbela daripada tohmahan dan/atau fitnah mana-mana individu.
“Ini kerana, gerakan ini adalah jauh lebih penting daripada kami atau mana-mana individu dan adalah melangkaui kes Bella semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya boleh memilih mengabaikan pernyataan fitnah berkenaan dan tidak menggunakan tenaga, kos serta masa bagi menyaman Nurul Hayati Hasan.
Namun Mona Din berkata, pihaknya tetap memfailkan saman kerana sekiranya tindakan tidak diambil, ia melambangkan seolah-oleh perjuangan untuk golongan rentan seperti kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) boleh dikesampingkan demi sokongan tidak berasas kepada seseorang individu yang sudah disabitkan bersalah.
Pada 3 Mei lalu, Siti Bainun diperintahkan menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang, Selangor, selepas didapati bersalah mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down dikenali Bella.
Siti Bainun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Sumber: HarianMetro