Connect with us

Terkini

Tiada lebih bermakna selain pengurangan beban kerja guru – NUTP

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menaruh harapan beberapa inisiatif ke arah kesejahteraan guru, khususnya berkaitan pengurangan beban tugas pendidik dapat diumumkan Kementerian Pendidikan sempena sambutan Hari Guru, hari ini.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Tiada lebih bermakna selain pengurangan beban kerja guru – NUTP
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menaruh harapan beberapa inisiatif ke arah kesejahteraan guru, khususnya pengurangan beban tugas pendidik dapat diumumkan Kementerian Pendidikan sempena sambutan Hari Guru.
  • Presidennya, Aminuddin Awang, berkata tiada lebih bermakna melainkan kesejahteraan guru ini diberikan perhatian kementerian sebagaimana dihasratkan bagi memastikan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.
  • Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan inisiatif segera ke arah kesejahteraan guru, dan harapan warga pendidik mungkin inisiatif jangka sederhana dapat diumumkan pada sambutan hari ini.
  • Peratus wajaran paling besar bebanan guru adalah hal berkaitan digital dan internet seperti pengisian maklumat berulang, sistem dalam talian yang disediakan kementerian yang masih tidak memenuhi spesifikasi keperluan guru.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menaruh harapan beberapa inisiatif ke arah kesejahteraan guru, khususnya berkaitan pengurangan beban tugas pendidik dapat diumumkan Kementerian Pendidikan sempena sambutan Hari Guru, hari ini.

Presidennya, Aminuddin Awang, berkata tiada yang lebih bermakna melainkan kesejahteraan guru ini diberikan perhatian kementerian sebagaimana dihasratkan bagi memastikan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

Katanya, sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sudah pun mengumumkan inisiatif segera ke arah kesejahteraan guru, dan harapan warga pendidik mungkin inisiatif jangka sederhana dapat diumumkan pada sambutan hari ini.

Peratus wajaran paling besar bebanan guru adalah hal berkaitan digital dan internet seperti pengisian maklumat berulang, sistem dalam talian yang disediakan kementerian yang masih tidak memenuhi spesifikasi keperluan guru.

“Malah, ketika ini masih banyak data dalam talian yang perlu diisi oleh guru,” katanya kepada BH.

Aminuddin berkata, sempena sambutan Hari Guru, NUTP juga menzahirkan terima kasih kepada menteri kerana sudah pun melaksanakan tujuh langkah segera ke arah kesejahteraan guru.

Katanya, Alhamdulillah, tujuh langkah itu sudah berjalan selepas diumumkan kementerian pada Februari lalu.

Tujuh langkah itu termasuk pemansuhan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberikan impak kepada pembelajaran murid dan hanya membeban tugas guru seperti pertandingan keceriaan pusat sumber, tandas tercantik, Bilik Operasi SPBT terbaik dan yang seumpamanya.

Enam langkah lain adalah mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang membabitkan guru kepada setahun sekali saja.

Penetapan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid yang lebih fleksibel kepada guru iaitu jam 12 tengah hari untuk sesi pagi dan jam 5 petang untuk sesi petang bagi mengelakkan kesesakan dalam sistem.

Kementerian juga membuka pelantikan pengawas peperiksaan awam yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) kepada individu selain guru termasuk dalam kalangan penjawat awam yang sedang berkhidmat seperti pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) tetapi perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Langkah lain ialah mengehadkan penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah saja; menetapkan ringkasan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) di peringkat kementerian bagi memastikan kembali memenuhi keperluan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil.3/1999, yang merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi.

Ketujuh, memperkukuh autonomi guru dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah (PBD) dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) sebagai rujukan.

Sumber: Berita Harian

Author