Connect with us

Terkini

Sarawak masih kekurangan guru

Sarawak masih menghadapi masalah kekurangan guru yang kini mencecah kira-kira 3,006 orang, dan jumlah ini makin bertambah kerana ramai guru yang akan bersara wajib.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Sarawak masih kekurangan guru
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Sarawak masih menghadapi masalah kekurangan guru kini mencecah kira-kira 3,006 orang, dan jumlah ini makin bertambah kerana ramai guru akan bersara wajib.
  • Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Kullin Djayang berkata, antara mata pelajaran mengalami kekurangan guru yang kritikal ialah seperti subjek Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Jasmani, Reka Bentuk dan Kemahiran Hidup serta guru prasekolah.
  • “Kekurangan guru juga menimbulkan masalah beban tugas guru. Ini kerana ada kalangan guru khasnya di sekolah yang besar mengajar pelbagai subjek dan melebihi masa yang sepatutnya bagi menampung kekurangan masalah guru.
  • “Apa yang lebih menyedihkan, ada dalam kalangan guru terpaksa mengajar subjek yang bukan jurusan mereka di samping tugas lain seperti di bidang kokurikukum, perkara inilah yang menjadikan guru amat terbeban,” katanya.

Kuching: Sarawak masih menghadapi masalah kekurangan guru yang kini mencecah kira-kira 3,006 orang, dan jumlah ini makin bertambah kerana ramai guru yang akan bersara wajib.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Kullin Djayang berkata, antara mata pelajaran yang mengalami kekurangan guru yang kritikal ialah seperti subjek Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Jasmani, Reka Bentuk dan Kemahiran Hidup serta guru prasekolah.

“Kekurangan guru juga menimbulkan masalah beban tugas guru. Ini kerana ada kalangan guru khasnya di sekolah yang besar mengajar pelbagai subjek dan melebihi masa yang sepatutnya bagi menampung kekurangan masalah guru.

“Apa yang lebih menyedihkan, ada dalam kalangan guru terpaksa mengajar subjek yang bukan jurusan mereka di samping tugas lain seperti di bidang kokurikukum, perkara inilah yang menjadikan guru amat terbeban,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ini ditambah lagi dengan pengisian data secara dalam talian yang semakin banyak dalam keadaan capaian internet yang lemah terutamanya di kawasan pedalaman.

“Lantaran inilah trend memilih untuk bersara awal dalam kalangan guru semakin meningkat.

“Dengan semua permasalahan ini, STU berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah drastik untuk mengatasi masalah kekurangan guru ini,” katanya.

Katanya, antara perkara utama yang perlu diambil perhatian serius oleh KPM ialah mengutamakan pengambilan anak jati Sarawak untuk mengajar di negeri ini bagi mengurangkan perpindahan balik guru ke negeri asal mereka.

“Isu kekurangan guru di Sarawak adalah permasalahan utama sektor pendidikan di negeri ini. Ia adalah antara punca mengapa Sarawak agak ketinggalan dari segi pendidikan dari negeri lain di Malaysia.

“Banyak subjek utama dan penting tidak mempunyai guru yang mencukupi khasnya di sekolah rendah luar bandar dan pedalaman. Kekurangan guru bagi beberapa subjek juga banyak berlaku di sekolah menengah,” katanya.

Katanya, sejak pengambilan 18,702 guru secara one off oleh Menteri Pendidikan terdahulu iaitu Mohd Radzi Md Jidin, sehingga kini hanya 2,667 orang guru yang ditempatkan ke negeri Sarawak, termasuk 215 orang yang menolak atas alasan mereka sendiri.

Sumber: Harian Metro

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *