Terkini
Pengerusi JMB Tri Pinnacle mohon maaf kepada umat Islam isu pembesar suara laungan azan
Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Tri Pinnacle, Tanjong Tokong, di sini, memohon maaf kepada penduduk dan semua masyarakat Islam mengenai isu penggunaan pembesar suara bagi laungan azan di Surau Saidina Umar.

- Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Tri Pinnacle, Tanjong Tokong memohon maaf kepada penduduk dan semua masyarakat Islam mengenai isu penggunaan pembesar suara bagi laungan azan di Surau Saidina Umar.
- Permohonan maaf itu dilakukan secara terbuka ketika sidang media berhubung isu berkenaan di kondominium terbabit hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor.
- Pengerusi JMB, Alex Low berkata, pihaknya sama sekali tidak berniat melarang laungan azan menggunakan pembesar suara di surau berkenaan.
- “Saya juga mewakili Ahli Jawatan Kuasa (AJK) JMB memohon maaf secara terbuka kepada penduduk Islam dan semua umat Islam mengenai isu ini.
- “Secara peribadi juga saya memohon maaf jika ada perkataan menyinggung perasaan dan kami kesal serta kecewa kerana isu yang sepatutnya menjadi perbincangan dalam mesyuarat lalu sudah menimbulkan salah faham,” katanya pada sidang media di sini semalam.
- Menerusi mesyuarat pada 9 Mei lalu, AJK JMB pihak pengurusan surau sudah mencapai persetujuan dan penyelesaian berhubung isu itu dengan menghormati agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia serta laungan azan bertujuan mendirikan solat.
GEORGETOWN: Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Tri Pinnacle, Tanjong Tokong, di sini, memohon maaf kepada penduduk dan semua masyarakat Islam mengenai isu penggunaan pembesar suara bagi laungan azan di Surau Saidina Umar.
Permohonan maaf itu dilakukan secara terbuka ketika sidang media berhubung isu berkenaan di kondominium terbabit hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor.
Pengerusi JMB, Alex Low berkata, pihaknya sama sekali tidak berniat melarang laungan azan menggunakan pembesar suara di surau berkenaan.
“Saya juga mewakili Ahli Jawatan Kuasa (AJK) JMB memohon maaf secara terbuka kepada penduduk Islam dan semua umat Islam mengenai isu ini.
“Secara peribadi juga saya memohon maaf jika ada perkataan menyinggung perasaan dan kami kesal serta kecewa kerana isu yang sepatutnya menjadi perbincangan dalam mesyuarat lalu sudah menimbulkan salah faham,” katanya pada sidang media di sini hari ini (semalam).
Alex berkata, menerusi mesyuarat pada 9 Mei lalu, AJK JMB pihak pengurusan surau sudah mencapai persetujuan dan penyelesaian berhubung isu itu dengan menghormati agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia serta laungan azan bertujuan mendirikan solat.
“Jadi kami ingin jelaskan bahawa video berkenaan bukan mengenai laungan azan tetapi pemasangan pembesar suara di surau dan agenda yang diusulkan pada 12 Mac lalu itu, sudah ditarik balik kerana ia amat sensitif bagi dibincangkan. Malah, video penarikan juga turut direkodkan.
“Sekali lagi kami dengan rendah diri memohon maaf supaya isu berkenaan tidak dibangkit semula bukan hanya di kawasan ini tetapi juga di Malaysia,” katanya yang turut meminta supaya video itu ditarik balik di media sosial bagi mengelak salah faham.
Semalam media melaporkan mengenai video tular mesyuarat JMB itu yang mengaitkan isu penggunaan pembesar suara bagi laungan azan di surau berkenaan.
Difahamkan, antara usul yang dicadangan ialah supaya pembesar suara diletakkan di dalam surau serta kelantangan pembesar suara laungan azan direndahkan, selain mencadangkan laungan azan dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp.
Bagaimanapun, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin pada sidang media hari ini berkata pihaknya sudah membuka kertas siasatan serta menyelesaikan dengan menggunakan cara diplomatik bagi selesaikan isu ini.
Sementara itu, Zakiyuddin berkata, pihaknya mendapati kewujudan video itu di media sosial amat mengelirukan dan tidak menampilkan kejujuran serta dikeluarkan dengan niat tidak baik walau apa tujuannya.
“Dengan niat bagi mencari penyelesaian segera serta memelihara Islam sebagai agama rasmi, Pejabat Agama Daerah Timur Laut sudah mengadakan mesyuarat pada 10 Mei lalu membabitkan JMB dengan pihak pengurusan surau bagi menjernihkan kekeliruan. Malah, banyak perkara sudah diselesaikan walaupun masih ada beberapa lagi isu yang dibincangkan.
“Malah JMB menerusi suratnya semalam, turut menyatakan bahawa pihaknya sama sekali tidak berniat atau bermaksud bagi menghalang sebarang seruan azan daripada dilaungkan di surau berkenaan,” katanya pada sidang media itu.
Sumber: Berita Harian
