Terkini
DAP bukan ‘abang besar’ dalam PH – Mahfuz
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, menafikan dakwaan kononnya DAP berstatus ‘abang besar’ dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional yang membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini.
- Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, menafikan dakwaan kononnya DAP berstatus ‘abang besar’ dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional yang membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini.
- Beliau juga menegaskan tidak berlaku kecelaruan antara kedua-dua gabungan itu seperti didakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, merujuk isu pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
- Pengerusi PH Kedah itu berkata, perkara seperti itu tidak sepatutnya dijadikan isu politik kerana parti komponen dalam gabungan berkenaan masing-masing mempunyai pandangan tersendiri.
- “Berbeza pandangan dalam sesuatu isu adalah asam garam dalam berpolitik apabila dianggotai pelbagai parti yang membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan. Namun ia bukan bermaksud dalam PH ada ‘abang besar’ dan DAP bukan ‘abang besar’ dalam PH,” katanya.
ALOR SETAR: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, menafikan dakwaan kononnya DAP berstatus ‘abang besar’ dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional yang membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Beliau juga menegaskan tidak berlaku kecelaruan antara kedua-dua gabungan itu seperti didakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, merujuk isu pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pengerusi PH Kedah itu berkata, perkara seperti itu tidak sepatutnya dijadikan isu politik kerana parti komponen dalam gabungan berkenaan masing-masing mempunyai pandangan tersendiri.
“Berbeza pandangan dalam sesuatu isu adalah asam garam dalam berpolitik apabila dianggotai pelbagai parti yang membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan.
“Namun ia bukan bermaksud dalam PH ada ‘abang besar’ dan DAP bukan ‘abang besar’ dalam PH,” katanya.
Rabu lalu, Sanusi mempersoalkan mengapa AMANAH sahaja perlu memohon maaf kepada UMNO atas keterlanjuran pemimpinnya mengeluarkan kenyataan berhubung isu pengampunan Najib, sedangkan DAP yang membuat kenyataan sama tidak perlu berbuat demikian.
Komen itu merujuk kenyataan bekas Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming pada Selasa lalu yang mengingatkan agar batasan yang ada dalam jalinan kerjasama PH dan BN tidak dilanggar, antaranya termasuk dalam isu pembebasan Najib sebelum hukuman penjaranya tamat.
Terdahulu, AMANAH memohon maaf kepada UMNO atas keterlanjuran kenyataan dikeluarkan Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd Samad, berhubung isu pengampunan terhadap Najib.
Menurut Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) sikap UMNO dalam isu membuktikan status DAP sebagai ‘abang besar’ dalam kerjasama PH dan BN.
Sementara itu, Mahfuz berkata, dalam isu pengampunan Najib, apa yang disuarakan Kian Ming itu bukanlah kenyataan rasmi DAP.
“Beliau (Kian Ming) bukan mewakili DAP lagi sebagai wakil rakyat dan pemimpin DAP lain tak kata apa pun.
“Jadi saya tak boleh rujuk kenyataan beliau sebagai kenyataan rasmi DAP,” katanya.
Berhubung tindakan AMANAH memohon maaf kepada UMNO, Mahfuz menyifatkan ia sebagai amalan mulia untuk menjernihkan kekeruhan yang timbul susulan kenyataan pelbagai pihak.
Sumber: Berita Harian