Terkini
Usah jadikan rumah terbuka Aidilfitri modal permusuhan
Tindakan segelintir pihak yang menjadikan Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Persekutuan sebagai modal mencetuskan permusuhan bercanggah dengan kenyataan Menteri Besar Terengganu dan Kelantan yang mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri ke dua negeri itu.

- Tindakan segelintir pihak yang menjadikan Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Persekutuan sebagai modal mencetuskan permusuhan bercanggah dengan kenyataan Menteri Besar Terengganu dan Kelantan yang mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri ke dua negeri itu.
- Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata sambutan Aidilfitri di peringkat negeri oleh Kerajaan Persekutuan bukanlah sesuatu yang wajar dilabelkan sebagai tindakan melangkaui sempadan hormat dan adab.
- “Apatah lagi ketiga-tiga Menteri Besar Kerajaan Negeri Perikatan Nasional (PN) termasuk Kedah bersetuju dan menyambut mesra penganjuran majlis yang akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan semalam.
KUALA LUMPUR : Tindakan segelintir pihak yang menjadikan Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Persekutuan sebagai modal mencetuskan permusuhan bercanggah dengan kenyataan Menteri Besar Terengganu dan Kelantan yang mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri ke dua negeri itu.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata sambutan Aidilfitri di peringkat negeri oleh Kerajaan Persekutuan bukanlah sesuatu yang wajar dilabelkan sebagai tindakan melangkaui sempadan hormat dan adab.
“Apatah lagi ketiga-tiga Menteri Besar Kerajaan Negeri Perikatan Nasional (PN) termasuk Kedah bersetuju dan menyambut mesra penganjuran majlis yang akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambah beliau, majlis sambutan Aidilfitri yang bakal diadakan selaras rukun perpaduan dan prinsip Malaysia Madani.
“Sambutan Aidilfitri bersama rakyat adalah hasrat yang menjunjung ihsan kerajaan untuk meraikan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bendera parti politik yang mentadbir negeri berbeza,” katanya.
Muhammad Kamil berkata usaha mendekati rakyat tanpa mengira sempadan negeri kerajaan dan pembangkang adalah tanggungjawab bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Dakwaan motif politik dan tuduhan menggunakan jentera parti untuk persaingan pengaruh yang tidak dibuktikan adalah kenyataan berniat jahat untuk menimbulkan kebencian rakyat kepada pimpinan Perdana Menteri,” katanya.
Selain itu tindakan sesetengah pihak yang membangkitkan perihal hutang negara dan kontradiksi berkenaan penjimatan adalah hal yang tidak munasabah.
“PN memberi hukuman bahawa pimpinan Kerajaan Malaysia Madani tidak berhak untuk menganjurkan apa-apa program untuk rakyat hanya kerana prinsip penjimatan yang diperkenalkan Perdana Menteri.
“Setakat ini, tidak ada lagi pembuktian dari PN bahawa penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri ini adalah pembaziran melainkan persepsi semata-mata,” katanya.
Tambah beliau lagi, cubaan mengaitkan Kerajaan Persekutuan terhadap pembatalan siaran Takbir Raya pimpinan PN juga adalah provokasi kepada kerajaan dan bertujuan memburuk-burukkan Kerajaan Malaysia Madani.
“Keputusan pembatalan program oleh Media Prima tidak mempunyai sebarang pengaruh dari kerajaan.
“Sekiranya PN ingin mendapatkan maklum balas menjangkaui ‘ralat teknikal’ yang dimaklumkan, rujukan sebaiknya ditujukan kepada stesen televisyen berkaitan, bukan sewenang-wenangnya membuat dakwaan umum yang kerajaan bertanggungjawab ke atas pembatalan siaran takbir raya politik yang dibiaya oleh PN,” katanya.
Serangan kepada Kerajaan Persekutuan disebabkan kegagalan PN untuk membuat jaringan politik adalah kezaliman politik sebenar yang mengeruhkan bukan sahaja hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri, malah ia adalah satu bentuk hasutan untuk menanam keraguan kepada orang awam terhadap realiti yang tidak boleh diterima pucuk pimpinan parti PN.
Sumber: Berita Harian
