Terkini
Syarikat agih al-Quran tanpa kebenaran akan disenarai hitam
Syarikat-syarikat dan pihak yang terlibat dengan kegiatan mengedar al-Quran tanpa kebenaran Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan disenarai hitam.
- Syarikat-syarikat dan pihak yang terlibat dengan kegiatan mengedar al-Quran tanpa kebenaran Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan disenarai hitam.
- Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK), Nik Yusaimi Yussof berkata, pihaknya memandang serius terhadap aktiviti menjual al-Quran tanpa kelulusan KDN dan bertanggungjawab sepenuhnya dalam memberikan kelulusan pada setiap al-Quran sebelum ia boleh diedarkan oleh mana-mana pihak.
- KDN juga tidak memberi kelulusan kepada al-Quran keluaran negara jiran, Thailand.
BANGI, 22 Ramadan 1444H, Khamis – Syarikat-syarikat dan pihak yang terlibat dengan kegiatan mengedar al-Quran tanpa kebenaran Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan disenarai hitam.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK), Nik Yusaimi Yussof berkata, pihaknya memandang serius terhadap aktiviti menjual al-Quran tanpa kelulusan KDN.
Untuk rekod, KDN adalah pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam memberikan kelulusan pada setiap al-Quran sebelum ia boleh diedarkan oleh mana-mana pihak.
Nik Yusaimi berkata, selain daripada di premis buku, pihaknya turut mengesan berlaku edaran al-Quran tiada kelulusan secara dalam talian yang membabitkan sebilangan perkhidmatan dagangan elektronik (e-dagang).
“Justeru, KDN akan melakukan penyamaran serta risikan bagi mengesan peniaga yang menjual al-Quran tanpa kelulusan KDN di negara ini.
“Kita turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam mendapatkan maklumat pihak yang terbabit menjual al-Quran tanpa kelulusan secara dalam talian,” katanya.
Dalam pada itu, KDN juga tidak memberi kelulusan kepada al-Quran keluaran negara jiran, Thailand.
Berikutan itu, Nik Yusaimi menyeru masyarakat Islam untuk membuat laporan sekiranya mengetahui perkara berkenaan bagi memastikan penularan al-Quran tanpa kelulusan dapat ditangani.
Terdahulu, KDN menerusi Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan telah merampas 4,320 unit al-Quran bernilai RM250,000 dalam Op Mulia melibatkan pelbagai jenis al-Quran termasuk dalam bentuk teks dan elektronik yang tidak mempunyai kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ), KDN.
Malah sebanyak 1,332 peranti al-Quran elektronik tanpa kelulusan bernilai RM55,000 turut dirampas, awal tahun ini.
Sumber: ISMAWEB