Connect with us

Terkini

Pencarum sangsi, tidak setuju KWSP jadi cagaran

Walaupun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah memperincikan mekanisme serta terma dan syarat bagi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) hari ini, kebanyakan pencarum masih sangsi dan tidak bersetuju dengan kaedah cagaran simpanan untuk membuat pinjaman bank.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Pencarum sangsi, tidak setuju KWSP jadi cagaran
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Mereka menyifatkan kaedah yang diumumkan Kementerian Kewangan baru-baru ini sebagai menjerat pencarum terutama golongan yang benar-benar memerlukan bantuan kewangan.
  • “Rasanya tak berbaloi untuk buat pinjaman dengan bank. Mengapa nak buat pinjaman di bank sedangkan pencarum yang memerlukan bantuan kewangan ada simpanan di KWSP,” – Pencarum, Hasnan Karim, 49
  • Seorang lagi pencarum, Muhamad Azim, 30, turut mempersoalkan mengapa perlu melalui pinjaman bank sedangkan duit yang disimpan itu adalah milik mereka.
  • Katanya, kerajaan sepatutnya membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 seperti yang dibuat sebelum ini tetapi ia mestilah secara bersasar atau hanya kepada mereka yang memerlukan.

Kuala Lumpur: Walaupun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah memperincikan mekanisme serta terma dan syarat bagi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) hari ini, kebanyakan pencarum masih sangsi dan tidak bersetuju dengan kaedah cagaran simpanan untuk membuat pinjaman bank.

Mereka menyifatkan kaedah yang diumumkan Kementerian Kewangan baru-baru ini sebagai menjerat pencarum terutama golongan yang benar-benar memerlukan bantuan kewangan.

Pencarum, Hasnan Karim, 49, berkata inisiatif seperti itu tidak berbaloi kerana KWSP sepatutnya membantu pencarum menggunakan wang simpanan mereka sendiri dan bukan meminjam dengan institusi kewangan.

“Rasanya tak berbaloi untuk buat pinjaman dengan bank. Mengapa nak buat pinjaman di bank sedangkan pencarum yang memerlukan bantuan kewangan ada simpanan di KWSP,” katanya.

Dilaporkan pencarum KWSP berusia 40 tahun dan ke atas yang mempunyai baki minimum RM3,000 dalam Akaun 2 masing-masing layak membuat pinjaman bank menerusi FSA2 bermula 7 April ini.

KWSP dalam kenyataan hari ini memaklumkan FSA2 akan dijalankan dalam dua fasa dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) yang akan dikenakan oleh bank yang mengambil bahagian di bawah program ini adalah antara 4 peratus hingga 5 peratus lebih rendah dan lebih berpatutan daripada kadar pasaran semasa iaitu 8 peratus hingga 15 peratus.

Seorang lagi pencarum, Muhamad Azim, 30, turut mempersoalkan mengapa perlu melalui pinjaman bank sedangkan duit yang disimpan itu adalah milik mereka.

Dia yang bertugas sebagai akauntan melihat kaedah seperti ini juga adalah membebankan.

“Bank pula kutip faedah dan saya raya cara ini lagi membebankan,” katanya.

Katanya, kerajaan sepatutnya membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 seperti yang dibuat sebelum ini tetapi ia mestilah secara bersasar atau hanya kepada mereka yang memerlukan.

Sumber: Harian Metro

Author