Connect with us

Antarabangsa

MUIS nafi halang pekerja asing solat Aidilfitri di Singapura

Pekerja hijrahan Muslim tidak pernah diasingkan daripada masyarakat mahupun masjid, malah mereka adalah anggota berharga dalam masyarakat Islam di Singapura.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

MUIS nafi halang pekerja asing solat Aidilfitri di Singapura
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menafikan dakwaan pekerja asing dihalang dari mengerjakan solat sunat Aidilfitri di masjid.
  • MUIS menjelaskan demikian menerusi Facebook pada Isnin (17 April).
  • Tular di media sosial satu surat pekeliling dari Persatuan Bangladesh Singapura (SBS).
  • Surat itu menyebut yang MUIS meminta agar pekerja Muslim warga Bangladesh untuk mengerjakan solat Aidilfitri di dormitori masing-masing untuk mengelakkan kesesakan dan menjaga kesihatan serta keselamatan orang ramai.

SINGAPURA: Pekerja hijrahan Muslim tidak pernah diasingkan daripada masyarakat mahupun masjid, malah mereka adalah anggota berharga dalam masyarakat Islam di Singapura.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menjelaskan demikian dalam catatannya di Facebook pada Isnin (17 Apr).

MUIS membuat penjelasan tersebut menyusuli surat pekeliling dari Persatuan Bangladesh Singapura (SBS) yang tular di media sosial semalam.

Surat itu antara lain menyatakan bahawa SBS “dinasihati untuk menyampaikan mesej daripada MUIS yang meminta supaya (saudara Muslim pekerja hijrahan Bangladesh) menyambut Aidilfitri dengan selamat dan bertanggungjawab, dengan mengerjakan solat Aidilfitri di dormitori masing-masing.”

Mesej itu juga disampaikan bagi “membantu mengelak daripada terlalu ramai orang dan sekatan jalan raya serta memastikan kesihatan dan keselamatan semua orang”, tulis surat pekeliling berkenaan.

MENAFIKAN SEKAT PEKERJA HIJRAHAN KE MASJID

Mengulas “kekecewaan dan rasa marah” orang ramai terbit daripada surat pekeliling itu, MUIS menafikan pekerja hijrahan Muslim disekat untuk mengerjakan solat Hari Raya Aidilfitri di dormitori mereka.

“Kami menyesali susunan kata dalam surat pekeliling itu tidak memberikan gambaran penuh aturan yang dibuat bagi pekerja hijrahan Muslim kami,” jelas MUIS.

Tambah kenyataan itu lagi, pihak MUIS, masjid dan rakan kongsi sedang membuat aturan bagi menyediakan pengalaman solat yang selesa dan selamat bagi jemaah tempatan dan luar negara.

KESELAMATAN, KESELESAAN DIUTAMAKAN

MUIS menjelaskan keselamatan dan keselesaan jemaah menjadi keutamaan sedang pihaknya membuat persiapan bagi solat Hari Raya hujung minggu ini.

Ia termasuk mengadakan tiga sesi solat bagi menangani permintaan yang dijangka lebih tinggi tahun ini.

Meskipun sudah menyediakan 230,000 ruang di masjid bagi solat Raya, ruang tambahan juga ditawarkan supaya jemaah tidak terlepas peluang untuk mengerjakan solat Hari Raya.

Ini termasuk menambah sehingga lebih tiga kali ganda ruang di dormitori, seperti yang dijelaskan dalam surat pekeliling tersebut.

MUIS juga menyediakan lebih 20 tempat lagi bagi tambahan 10,000 ruang di estet perumahan merata negara.

“Pendek kata, kami menyediakan ruang tambahan kepada kedua-dua penduduk tempatan dan pekerja hijrahan Muslim, dan setiap tempat akan mempunyai imam yang akan menyampaikan khutbah dan memimpin solat,” jelas MUIS.

MUIS juga menekankan pendekatannya bagi solat Hari Raya tahun ini adalah dengan menawarkan pelbagai pilihan ruang bagi jemaah.

“Pekerja hijrahan Muslim akan mendapat akses kepada masjid dan ruang tambahan di dormitori dan pusat rekreasi.

“Seperti jemaah lain juga, kami menggalakkan mereka supaya membuat perancangan awal dan memanfaatkan sesi dan lokasi di mana adanya permintaan solat Raya lebih rendah,” menurut MUIS.

Sumber: Mediacorp Singapura

Author