Terkini
(VIDEO) Mengapa rakyat Malaysia anti pelarian Rohingya?
Insiden lebih 50 etnik Muslim Rohingya didakwa dipaksa keluar dari rumah mereka seminggu sebelum sambutan Aidilfitri, yang didedahkan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), menunjukkan penduduk Malaysia kini semakin bersikap keras terhadap etnik itu.
Insiden lebih 50 etnik Muslim Rohingya didakwa dipaksa keluar dari rumah mereka seminggu sebelum sambutan Aidilfitri, yang didedahkan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), menunjukkan penduduk Malaysia kini semakin bersikap keras terhadap etnik itu.
Rata-rata netizen di ruangan komen didapati tidak lagi boleh bertoleransi atau menerima komuniti ini dan kegagalan pihak berwajib menanganinya, dikatakan antara punca mengapa penduduk setempat membuat tindakan sendiri.
Penolakan itu bukanlah suatu yang baru, sebaliknya berlaku sejak bertahun-tahun walaupun pada awalnya Malaysia antara negara yang menerima kehadiran etnik Rohingya yang juga mangsa diskriminasi junta tentera Myanmar, negara asal Rohingya.
Malaysia tidak mengiktiraf etnik Rohingya sebagai pelarian kerana negara ini tidak menandatangani Konvensyen Geneva 1951 Berkaitan Orang Pelarian, bagaimanapun etnik majoriti beragama Islam itu diterima di Malaysia sebagai pendatang atas dasar kemanusiaan.
Malangnya, kebaikan Malaysia menyebabkan negara ini kini dibanjiri etnik itu di mana pada 2021, Kementerian Luar mendedahkan sekurang-kurangnya 200,000 pelarian Rohingya berada di sini iaitu jumlah terbesar di Asia Tenggara.
Sekitar akhir Januari 2023, terdapat kira-kira 106,500 pelarian dan pencari suaka dari etnik Rohingya berdaftar dengan UNHCR di Malaysia.
Demikian angka bagi mereka yang berdaftar dengan UNHCR, bagaimana pula yang tidak berdaftar dan bermain ‘kucing dan tikus’ bersama pihak berkuasa untuk menyelinap dan memasuki Malaysia?
Tidak dinafikan, penghijrahan pelarian ini juga adakalanya sering dieksploitasi sehingga menjadi mangsa pemerdagangan manusia menyebabkan mereka menderita malah terkorban seperti tragedi di Wang Kelian dan Padang Besar, Perlis.
Dalam kita bersimpati dengan nasib komuniti ini, wajarkah sebagai tuan rumah perlu makan hati untuk memenangkan mereka yang kini didakwa semakin besar kepala?
View this post on Instagram
Antara punca sentimen anti pelarian Rohingya
Pepatah ada berkata, “Kalau tiada angin bertiup, takkan pokok bergoyang” dan kalau tiada punca takkanlah tiba-tiba penduduk Malaysia khususnya majoriti Melayu-Islam ini mulai menunjukkan ketidakpuasan hati, rimas dan jengkel dengan etnik Rohingya ini.
Pensyarah Asia School of Business (ASB) Dr Melati Nungsari, yang banyak melakukan penyelidikan berkenaan dengan pelarian terutamanya dalam kalangan komuniti Rohingya di Malaysia menjelaskan ada beberapa faktor dikhuatiri menjadi penyumbang utama kepada semangat xenophobia warga tempatan terhadap etnik Rohingya ini.
Salah satu penyebab mengapa golongan terpinggir seperti ini kurang diterima warga tempatan adalah kerana semangat rasisme atau perkauman yang kuat terhadap pelarian-pelarian Rohingya.
Majoriti pelarian Rohingya ini sering dibenci masyarakat tempatan kerana mereka kurang mengenali atau memahami penderitaan di sebalik kisah hidup pelarian-pelarian ini malah mereka juga kerap berdepan persepsi buruk kerana warna kulit mereka.
Andainya ditakdirkan etnik Rohingya ini berambut perang dan bermata biru, berkemungkinan persepsi dan layanan rakyat Malaysia terhadap mereka akan berubah sedikit menjadi lebih baik, katanya.
Menurut beliau, sebilangan masyarakat Malaysia turut bimbang pelarian Rohingya ini ‘merampas’ peluang pekerjaan tersedia di Malaysia, terutama pekerjaan berkemahiran rendah.
Dalam pada itu, sekitar 2020, seorang individu mendakwa dirinya sebagai Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani dikatakan menuntut beberapa perkara dari kerajaan Malaysia seperti peluang pekerjaan, akses kesihatan dan pendidikan.
Terbaharu, muncul video seorang lelaki didakwa warga Rohingya meminta hak sama rata dengan rakyat tempatan kerana berpandangan mereka juga menyumbang kepada ekonomi negara sehinggakan Selayang dituntut menjadi kawasan mereka.
Beberapa siri insiden ini juga boleh dikatakan antara penyebab tercetusnya persepsi negatif dalam kalangan masyarakat tempatan ditambah pengalaman peribadi dikongsikan di media sosial dengan dakwaan etnik ini pengotor, biadap dan gemar mengemis meraih simpati serta melanggar undang-undang sedia ada di sini.
Malah, ada di antara mereka dikatakan menggunakan kad UNHCR sebagai ‘lesen’ untuk bertindak sesuai dengan kehendak hati kerana merasa diri mereka tidak boleh ‘disentuh’ oleh penguat kuasa.
Bagaimanapun dalam kita ghairah menyenaraikan sisi negatif etnik ini tidak juga dapat kita nafikan bahawa mereka sedang bergelut di negara ini.
Perjuangan pelarian Rohingya di Malaysia
Jika kita masyarakat tempatan berjuang untuk hidup di sini dengan tekanan ekonomi yang menekan begitu jugalah nasib golongan ini di mana mereka perlu berdepan dengan kemiskinan, pengangguran, tiada jaminan pekerjaan, rawatan perubatan yang tidak mencukupi, isu keselamatan, tiada sijil kelahiran dan isu pendidikan dalam kalangan anak-anak pelarian Rohingya.
Malaysian Journal of Society and Space menjelaskan etnik ini masih boleh mencari rezeki walaupun pelarian tidak dibenarkan bekerja secara formal, namun boleh melakukan kerja seperti mengutip besi, tin, kotak, mengambil upah membersihkan kawasan rumah, potong rumput, angkat barang, cuci pasar, membantu jualan ikan dan sayur di pasar serta melakukan perkhidmatan roda tiga iaitu mengambil upah mengangkut barang-barang buangan ke tempat pelupusan sampah.
Purata anggaran kasar sehari pendapatan seorang pelarian Rohingya yang melakukan pekerjaan sendiri bermula dari RM20-RM30 sehari dan pada hari minggu boleh mencecah sehingga RM50.
Tidak juga dilupakan ada di antara mereka menjadi mangsa penipuan majikan yang menjanjikan bayaran tertentu, namun tidak dikotakan.
Antara kawasan tempat kerja pelarian Rohingya di sekitar Selangor adalah hulu Langat, Satoh, Mauri, Ampang, Selayang dan Gombak di mana mereka ini lazimnya tinggal secara beramai-ramai dengan beberapa keluarga dalam sebuah rumah hingga adakalanya ‘berhimpit-himpit seperti sardin’.
Etnik ini boleh dikatakan sedang menghadapi satu kehidupan dan masa depan yang tidak pasti, ketidakpastian yang bukan hanya menimpa generasi hari ini dan generasi akan datang.
Sebagaimana masyarakat tempatan berjuang untuk hidup, mereka juga sedang bergelut dengan kehidupan seharian mereka.
Namun, sampai bilakah mereka akan terus berjuang di negara orang? Apakah suatu saat nanti di saat mereka fasih berbahasa Melayu, berjaya berasimilasi dengan budaya di sini akan dijadikan peluang untuk mereka menuntut sesuatu yang lebih dari Malaysia kerana usia mereka menetap di sini ada sebahagiannya yang sudah menelan puluhan tahun? — The Merdeka Times