Connect with us

Antarabangsa

Harga hotel di Makkah naik ekoran permintaan tinggi

Sektor hotel dan penginapan di Makkah menyaksikan lonjakan pada musim Ramadan 2023, apabila kadar penghunian hotel mencapai 80 peratus, tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Harga hotel di Makkah naik ekoran permintaan tinggi
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Sektor hotel dan penginapan di Makkah menyaksikan lonjakan pada musim Ramadan 2023, sehingga 80 peratus.
  • Kadar ini merupakan yang tertinggi dalam tempoh tiga tahun.
  • Tinjauan oleh perniagaan Al-Eqtisadiah mengenai tempahan bilik hotel di kawasan tengah Makkah sepanjang 10 hari terakhir Ramadan mendapati harga berkisar antara SR3,000 (RM3,526) dan SR9,000 (RM10,579) sehari dengan syarat tempahan adalah untuk keseluruhan 10 hari terakhir.
  • Pengerusi Jawatankuasa Haji dan Umrah Dewan Makkah, Abdullah Al-Qadi, berkata harga bilik hotel di Makkah tertakluk kriteria tertentu, keutamaan disebabkan penawaran dan permintaan, selain kedudukan berdekatan dengan Masjidil Haram dan perkhidmatan disediakan.

MAKKAH: Sektor hotel dan penginapan di Makkah menyaksikan lonjakan pada musim Ramadan 2023, apabila kadar penghunian hotel mencapai 80 peratus, tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

Kadar itu selaras dengan data dikeluarkan Jawatankuasa Haji dan Umrah Dewan Makkah.

Harga hotel pada bulan mulia ini turut menyaksikan kenaikan berikutan permintaan tinggi terutama pada 10 hari terakhir Ramadan.

Tinjauan oleh perniagaan Al-Eqtisadiah mengenai tempahan bilik hotel di kawasan tengah Makkah sepanjang 10 hari terakhir Ramadan mendapati harga berkisar antara SR3,000 (RM3,526) dan SR9,000 (RM10,579) sehari dengan syarat tempahan adalah untuk keseluruhan 10 hari terakhir.

Pengerusi Jawatankuasa Haji dan Umrah Dewan Makkah, Abdullah Al-Qadi, berkata harga bilik hotel di Makkah tertakluk kriteria tertentu, keutamaan disebabkan penawaran dan permintaan, selain kedudukan berdekatan dengan Masjidil Haram dan perkhidmatan disediakan.

Memetik laporan Saudi Gazette, beliau berkata, apa yang membezakan harga bilik hotel di Makkah adalah lokasi terutama hotel di kawasan tengah, yang mana harganya mencatatkan kenaikan secara beransur-ansur apabila menjelang musim Ramadan, dan meningkat dua kali ganda dalam tempoh 10 hari terakhir.

Kementerian Pelancongan bekerjasama dengan pelabur dalam sektor penginapan di Makkah bagi memulihkan dan mengaktifkan semula sektor itu selepas pandemik COVID-19, katanya.

Al-Qadi berkata kementerian telah memanfaatkan dan menangani cabaran dihadapi pelabur. Ia menganjurkan beberapa mesyuarat maya untuk menangani masalah yang menghalang industri, sekali gus membantu sektor pulih dengan cepat.

Sementara itu beberapa pekerja dalam sektor itu mengesahkan kenaikan harga yang tinggi selepas pandemik COVID-19, dengan menyatakan harga bilik di kawasan tengah Makkah yang dulunya antara SR35,000 (RM41,140) hingga SR55,000 (RM64,649) kini mencecah SR45,000 (RM52,895) hingga SR90,000 (RM105,790) untuk 10 hari terakhir Ramadan.

Kenaikan harga yang tinggi disebabkan oleh lonjakan perbelanjaan mengurus, di samping lonjakan harga makanan, serta permintaan yang tinggi.

Pekerja itu berkata, musim Ramadan sekarang menyaksikan kehadiran yang ramai terutama selepas pelonggaran visa dan kemudahan disediakan Arab Saudi kepada jemaah dari luar negara, yang menyebabkan permintaan tinggi untuk bilik di kawasan tengah Makkah. 

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *