Antarabangsa
Rosakkan al-Quran, empat murid digantung sekolah
Empat murid dari sebuah sekolah menengah di West Yorkshire digantung persekolahan selepas merosakkan sebuah mushaf al-Quran.

- Empat murid dari sebuah sekolah menengah digantung persekolahan selepas merosakkan sebuah mushaf al-Quran.
- Insiden berlaku semasa seorang pelajar membawa kitab suci itu ke Sekolah Menengah Kettlethorpe di Wakefield.
- Kitab itu dibawa ke sekolah oleh seorang murid sebagai ‘denda’ kerana kalah dalam permainan video Call of Duty dengan rakannya.
- Al-Quran itu mengalami sedikit koyakan pada muka hadapan dan terdapat kesan kotoran pada beberapa halaman muka surat.
ENGLAND – Empat murid dari sebuah sekolah menengah di West Yorkshire digantung persekolahan selepas merosakkan sebuah mushaf al-Quran.
Insiden di Sekolah Menengah Kettlethorpe di Wakefield itu berlaku semasa seorang pelajar Tahun 10 membawa kitab suci itu ke sekolah.
Pengetua, Tudor Griffiths berkata al-Quran itu masih dalam keadaan baik dan “tiada niat jahat” daripada mereka yang terlibat.
Ahli Majlis Wakefield East, Akef Akbar mengadakan satu mesyuarat selepas dihubungi orang ramai yang meminta maklumat lanjut berkenaan perkara itu.
Menurutnya, dakwaan yang mengatakan al-Quran itu dibakar dan dihancurkan adalah tidak benar dan pihaknya telah memeriksa kitab tersebut semasa mesyuarat dijalankan.
Akbar berkata beliau diberitahu kitab itu telah dibawa ke sekolah oleh seorang murid sebagai ‘denda’ kerana kalah dalam permainan video Call of Duty dengan rakannya.
Al-Quran itu mengalami sedikit koyakan pada muka hadapan dan terdapat kesan kotoran pada beberapa halaman muka surat.
Akbar berkata beliau difahamkan ia telah disepak-sepak sekitar kawasan sekolah, namun dakwaan itu dinafikan pihak sekolah.
Griffiths berkata dalam satu kenyataan: “Kami ingin menyakinkan masyarakat bahawa kitab suci itu masih dalam keadaan elok dan siasatan awal menunjukkan tiada niat jahat daripada pelajar terlibat.
“Walau bagaimanapun, kami sudah menjelaskan tindakan itu tidak menghormati al-Quran, jadi semua terlibat telah digantung sekolah dan kami akan membantu mereka untuk faham mengapa tindakan mereka itu adalah salah.
“Pagi ini, kami berjumpa dengan ketua komuniti Muslim, ahli majlis bebas dan pihak polis untuk berkongsi maklumat kami ada, tindakan yang diambil untuk memperkukuh nilai dan tingkah laku setiap ahli dalam komuniti sekolah bagi memastikan semua agama dihormati,” katanya dipetik BBC.
Jurucakap Polis West Yorkshire berkata mereka sedang bekerjasama dengan pihak sekolah itu.
“Siasatan awal mendapati terdapat kerosakan kecil terhadap kitab itu dan pihak kami sedang bekerjasama dengan pihak sekolah,” katanya.
Sumber: BBC
