Terkini
Rangka syarat pemberian PrEP, nyatakan penolakan seks songsang secara jelas – Mufti Perlis
Kerajaan perlu merangka syarat-syarat pemberian ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) bagi memastikan tujuan manfaatnya terlaksana dan kemungkaran tidak dikembangkan.
- Kerajaan perlu rangka syarat-syarat pemberian ubat PrEP bagi memastikan tujuan manfaatnya terlaksana dan kemungkaran tidak dikembangkan.
- Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata ia bertujuan membendung kemungkaran, bukan menghalang perlindungan kepada mereka yang boleh menjadi mangsa penyakit.
- Jika PrEP diberi kepada pengamal seks songsang bagi membolehkan individu itu merasa selamat melakukan kesongsangannya, maka ia sememangnya satu galakan kepada aktiviti golongan homoseksual atau pelacur. Malaysia juga perlu secara jelas dan nyata bersuara menentang amalan seks songsang, khususnya homoseksual, bagi menunjukkan negara tidak menerima perbuatan salah itu.
KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu merangka syarat-syarat pemberian ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) bagi memastikan tujuan manfaatnya terlaksana dan kemungkaran tidak dikembangkan.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr MAZA berkata penetapan syarat itu bertujuan untuk membendung kemungkaran, bukannya menghalang perlindungan kepada mereka yang boleh menjadi mangsa penyakit.
Beliau berkata PrEP secara asas merupakan ubat atau bahan diberikan untuk mencegah jangkitan HIV, di mana pada asalnya mengambil atau memberikan ubat yang tidak memudaratkan adalah dibolehkan melainkan ada alasan tertentu mengubah hukum asal.
Katanya, jika PrEP diberi kepada pengamal seks songsang bagi membolehkan individu itu merasa selamat melakukan kesongsangannya, maka ia sememangnya satu galakan kepada aktiviti golongan homoseksual atau pelacur.
“Itu boleh membawa kepada haram seperti menjual racun kepada orang yang ingin bunuh diri atau anggur kepada pembikin arak.
“Namun, jika ia diberikan bagi menjadi langkah perlindungan untuk mereka yang mungkin jadi mangsa seperti isteri yang bimbang tentang keadaan suaminya yang mungkin terlibat dengan sesuatu yang meragukan, atau isteri yang suaminya dalam proses pemulihan dadah maka itu sesuatu yang baik,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata mengambil suatu langkah perlindungan penyakit adalah sesuatu yang harus, bukan haram.
“Adapun jika pemberian bahan berkenaan boleh membawa kepada galakan perkara mungkar sedangkan dalam masa sama ia diperlukan pihak sewajarnya, maka bahan itu boleh digunakan atau diedarkan dengan bersyarat bagi mencegah berkembangnya perkara mungkar,” katanya.
Beliau berkata syarat-syarat itu bertujuan bagi membendung kemungkaran, bukan menghalang perlindungan kepada mereka yang boleh menjadi mangsa penyakit.
“Menjadi tanggungjawab kerajaan merangka syarat-syarat bagi memastikan tujuan manfaat terlaksana dan kemungkaran tidak dikembangkan,” katanya.
Dr MAZA menegaskan negara perlu secara jelas dan nyata bersuara menentang seks songsang, khususnya homoseksual.
Beliau berkata pemberian PrEP dalam suasana penentangan kepada kesongsangan itu, tidak menampakkan kita ‘berkompromosi’ dengan aktiviti yang salah.
Pada masa sama, beliau menegaskan langkah-langkah menyelamatkan mangsa terkena HIV dari pasangan hendaklah dilaksanakan secara berkesan seperti memudahkan penceraian atau perpisahan segera suami-isteri yang terkena HIV.
Dr MAZA mengingatkan pengurusan hukum di Mahkamah Syariah hendaklah bersifat progresif dan tidak mundur.
Kementerian Kesihatan pada Disember lalu dilaporkan bakal melakukan projek rintis berkenaan penggunaan ubat PrEP di beberapa hospital bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV.
Ubat PrEP secara percuma itu akan diberikan kepada golongan berisiko dijangkiti HIV, termasuk komuniti LGBT, di mana ia menimbulkan perdebatan dalam kalangan pengamal perubatan, terutama doktor Muslim. – The Merdeka Times
Sumber: Facebook Dr MAZA