Antarabangsa
Presiden Palestin gesa Israel patuh perjanjian & resolusi PBB
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, semalam menggesa kerajaan Israel mematuhi perjanjian yang ditandatangani dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta menghentikan semua langkah dan tindakan unilateral di wilayah Palestin.

- Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menggesa kerajaan Israel mematuhi perjanjian ditandatangani dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta menghentikan semua langkah dan tindakan unilateral di wilayah Palestin.
- Perdana Menteri Palestin, Mohammed Ishtaye seru Itali mengiktiraf negara Palestin berdasarkan kepercayaannya terhadap penyelesaian dua negara dan komitmen untuk menyokong penyelesaian itu.
- Beliau berkata, pengiktirafan negara Palestin pada masa ini penting kerana kerumitan hal di lapangan dan kekurangan sebarang inisiatif politik.
RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, semalam menggesa kerajaan Israel mematuhi perjanjian yang ditandatangani dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta menghentikan semua langkah dan tindakan unilateral di wilayah Palestin.
Agensi berita rasmi Palestin (WAFA) melaporkan, Mahmoud membuat kenyataan itu ketika pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Itali dan Menteri Luar, Antonio Tiani di bandar Ramallah, Tebing Barat.
WAFA berkata, Tiani mengesahkan sokongan Itali untuk mencapai keamanan mengikut penyelesaian dua negara berdasarkan resolusi antarabangsa dan sokongan berterusan beliau kepada rakyat Palestin.
Sementara itu, Perdana Menteri Palestin, Mohammed Ishtaye menyeru Itali mengiktiraf negara Palestin berdasarkan kepercayaannya terhadap penyelesaian dua negara dan komitmen untuk menyokong penyelesaian itu.
Berdasarkan kenyataan rasmi, ketika pertemuan dengan Tiani, Mohammed berkata, pengiktirafan negara Palestin pada masa ini ‘penting kerana kerumitan hal di lapangan dan kekurangan sebarang inisiatif politik’.
Menteri Luar Palestin, Riyad Al-Maliki, ketika sidang akhbar bersama Tiani, berkata ‘program hasutan kerajaan Israel diterjemahkan di lapangan setiap hari ketika dunia menyaksikan permulaan tahun berdarah dengan pembunuhan 84 rakyat Palestin, termasuk 15 kanak-kanak’.
Riyad turut menyeru Itali untuk mempertimbang semula undinya pada Perhimpunan Agung PBB dan seluruh jawatankuasa khas PBB serta agensi antarabangsa lain yang memihak kepada Negara Palestin dan hak nasionalnya.
Sumber: Berita Harian

You must be logged in to post a comment Login