Terkini
Pinjaman sandar caruman KWSP perlu punya rangka kerja tepat – Gabenor BNM
Cadangan membolehkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pinjaman menggunakan wang caruman, sebagai sandaran kepada bank, perlu mempunyai rangka kerja yang tepat.
- Cadangan membolehkan pencarum KWSP membuat pinjaman menggunakan wang caruman, sebagai sandaran kepada bank, perlu mempunyai rangka kerja yang tepat.
- Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata adalah penting bagi skim cagaran KWSP itu mempunyai ciri dan perlindungan yang betul supaya peminjam mampu dan boleh membayar pinjaman daripada sumber pendapatan mereka.
- Beliau berkata, pada masa sama, ia juga perlu dipastikan agar pencarum KWSP mempunyai simpanan kewangan yang kukuh menjelang usia persaraan.
- “Ketika ini butiran lengkap mengenai langkah caruman KWSP itu masih belum ada,” katanya selepas sidang media sempena penerbitan Laporan Tahunan 2022, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 serta Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2022.
KUALA LUMPUR: Cadangan membolehkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pinjaman menggunakan wang caruman, sebagai sandaran kepada bank, perlu mempunyai rangka kerja yang tepat.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata adalah penting bagi skim cagaran KWSP itu mempunyai ciri dan perlindungan yang betul supaya peminjam mampu dan boleh membayar pinjaman daripada sumber pendapatan mereka.
Beliau berkata, pada masa sama, ia juga perlu dipastikan agar pencarum KWSP mempunyai simpanan kewangan yang kukuh menjelang usia persaraan.
“Ketika ini butiran lengkap mengenai langkah caruman KWSP itu masih belum ada,” katanya selepas sidang media sempena penerbitan Laporan Tahunan 2022, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 serta Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2022.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan cadangan membolehkan pencarum KWSP membuat pinjaman menggunakan wang caruman sebagai sandaran kepada bank sudah dirujuk kepada Peguam Negara.
Perdana Menteri menjelaskan, hasil rujukan itu mendapati tiada percanggahan membabitkan Seksyen 51 Akta KWSP 1991 dengan pemberian dividen terhadap peminjam kaedah itu akan diteruskan, sekali gus risiko dalam aspek terbabit sangat minimum.
Pada 11 Mac lalu, Anwar berkata, langkah membenarkan ahli KWSP menggunakan caruman mereka sebagai sandaran pinjaman peribadi tidak bercanggah dengan Akta KWSP 1991.
Perkara itu juga sudah dibincang dan diperhalusi bersama pihak KWSP sebelum kaedah itu diumumkan di Dewan Rakyat pada 24 Februari.Jelasnya, kebenaran kepada pencarum menggunakan wang simpanan KWSP sebagai cagaran bank adalah bagi mereka yang mempunyai wang caruman yang besar, namun berhadapan kesulitan.
Anwar berkata, ada beberapa pihak memberi pandangan berhubung kaedah sandaran itu selain pertemuan dengan KWSP dan timbalan menteri secara berasingan.
Menerusi sesi itu, beliau menjelaskan KWSP bukan satu-satunya tindakan untuk membantu meringankan beban ditanggung.
Katanya, kerajaan berharap rakyat faham mengenai keterbatasan KWSP yang terikat kerana ia bukan agensi pinjaman seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Dalam sesi penggulungan usul Belanjawan 2023 pada 9 Mac lalu, Anwar mencadangkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai sandaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.
Sumber: Berita Harian