Terkini
Pindaan selesai isu kewarganegaraan, bukan galakkan wanita kahwin dengan orang luar – Azalina
Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menyelesaikan isu kewarganegaraan anak kepada wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing, yang lahir di luar negara bukan untuk menggalakkan wanita tempatan berkahwin dengan orang luar.
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan pindaan dibuat bagi Bahagian II Jadual Kedua dan Ketiga Perlembagaan Persekutuan untuk memberi keadilan kepada anak yang dilahirkan oleh wanita Malaysia di luar negara, sama seperti anak kepada bapa warga Malaysia yang lahir di luar negara.
- Katanya, pindaan itu untuk keadilan kepada semua lelaki dan wanita, suami dan isteri serta anak-anak yang dilahirkan di luar negara.
- “Pindaan ini bukannya untuk kita galakkan wanita Malaysia berkahwin dengan orang asing, ini isu anak yang tidak berdosa, dilahirkan atas percintaan dan perkahwinan.”
- “Kenapa jika bapa mereka warganegara dibenarkan dapat kewarganegaraan tetapi tidak jika ibu mereka berkahwin dengan orang asing berlaku sebaliknya,” katanya dalam temubual bersama media semalam.
KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menyelesaikan isu kewarganegaraan anak kepada wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing, yang lahir di luar negara bukan untuk menggalakkan wanita tempatan berkahwin dengan orang luar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan pindaan yang dibuat bagi Bahagian II Jadual Kedua dan Ketiga Perlembagaan Persekutuan itu untuk memberi keadilan kepada anak yang dilahirkan oleh wanita Malaysia di luar negara, sama yang seperti anak kepada bapa warga Malaysia yang lahir di luar negara.
Katanya, pindaan itu untuk keadilan kepada semua lelaki dan wanita, suami dan isteri serta anak-anak yang dilahirkan di luar negara.
“Pindaan ini bukannya untuk kita galakkan wanita Malaysia berkahwin dengan orang asing, ini isu anak yang tidak berdosa, dilahirkan atas percintaan dan perkahwinan.
“Kenapa jika bapa mereka warganegara dibenarkan dapat kewarganegaraan tetapi tidak jika ibu mereka berkahwin dengan orang asing berlaku sebaliknya,” katanya dalam temubual bersama media semalam.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Februari lalu bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan terhadap Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua.
Keputusan dibuat sejajar dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mengiktiraf kesamarataan wanita dan lelaki dalam isu berkenaan serta menyingkirkan diskriminasi terhadap wanita di negara ini.
Azalina juga menegaskan salah faham berhubung isu itu perlu ditangani dengan sebaiknya demi keadilan kepada semua warganegara.
“Saya menekan elemen undang-undang untuk keadilan semua dan apa saja pindaan dalam Perlembagaan mahu pun undang-undang lain perlu berlaku adil kepada semua .
“Pelaksanaan dengan pindaan ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana mereka terbabit dengan pendaftaran kelahiran dan kewarganegaraa,” katanya.
Isu kerakyatan itu mula mendapat perhatian selepas kumpulan hak asasi Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) dan enam wanita warga Malaysia memfailkan saman pemula pada 18 Disember 2020.
Saman pemula itu difailkan bagi menuntut perisytiharan bahawa anak wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan rakyat asing, layak memperoleh kewarganegaraan secara automatik walaupun mereka dilahirkan di luar negara.
Pada 9 September 2021, mereka berjaya dalam tuntutan itu selepas Mahkamah Tinggi memutuskan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia dan pasangan rakyat asing berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.
Namun, keputusan itu berubah pada 5 Ogos lalu apabila Mahkamah Rayuan memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.
Pada 14 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada enam ibu warga Malaysia dan Family Frontiers untuk meneruskan rayuan bagi menuntut hak kerakyatan berkenaan.
Ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjadikan pindaan Perlembagaan itu sebagai sebahagian daripada manifesto masing-masing.
Sumber: Berita Harian