Terkini
Pinda AUKU sekat hak, pergerakan mahasiswa – MPPK
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melakukan pindaan semula Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi memastikan pembawaan hala tuju pemerkasaan mahasiswa dan Kesatuan Mahasiswa dapat dilaksanakan.
- Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menggesa KPT melakukan pindaan semula Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi memastikan pembawaan hala tuju pemerkasaan mahasiswa dan Kesatuan Mahasiswa dapat dilaksanakan.
- MPPK dalam kenyataan berkata, terdapat beberapa perkara di dalam AUKU masih menyekat pergerakan dan hak mahasiswa.
- Katanya, antara alasan gesaan kali ini dibuat kerana dengan peruntukan sebanyak 27 seksyen dan dua jadual serta tujuh bahagian iaitu Pelajaran Tinggi, Pentadbiran, Universiti, Kolej Universiti, Daftar dan Pengkalan Data dan Am, hanya terdapat dua seksyen sahaja yang secara khusus memperuntukkan aspek mahasiswa iaitu seksyen 15 dan 16 termasuk Perkara 48 Jadual Pertama yang menyebut aspek Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
- “MPPK juga menggesa seluruh gerakan mahasiswa bersatu dalam membawa satu suara yang rasional dengan memfokuskan kepada agenda yang lebih utama iaitu memastikan pindaan di dalam AUKU ini wajib dilakukan supaya agenda utama yang berkaitan dengan pemerkasaan mahasiswa, autonomi mahasiswa dan kesatuan mahasiswa dapat direalisasikan sebaiknya,” katanya.
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melakukan pindaan semula Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi memastikan pembawaan hala tuju pemerkasaan mahasiswa dan Kesatuan Mahasiswa dapat dilaksanakan.
MPPK dalam kenyataan berkata, terdapat beberapa perkara di dalam AUKU masih menyekat pergerakan dan hak mahasiswa, namun akta terbabit mengalami pelbagai pindaan sejak ianya dikuatkuasakan mengikut kehendak dan persekitaran terutamanya harapan mahasiswa.
Katanya, antara alasan gesaan kali ini dibuat kerana dengan peruntukan sebanyak 27 seksyen dan dua jadual serta tujuh bahagian iaitu Pelajaran Tinggi, Pentadbiran, Universiti, Kolej Universiti, Daftar dan Pengkalan Data dan Am, hanya terdapat dua seksyen sahaja yang secara khusus memperuntukkan aspek mahasiswa iaitu seksyen 15 dan 16 termasuk Perkara 48 Jadual Pertama yang menyebut aspek Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Oleh itu, dengan adanya pindaan yang lebih terbuka, ia menampakkan fungsi dan kuasa autonomi lebih kepada mahasiswa.
“Perkara ini boleh dijalankan namun hendaklah disusuli dengan kepercayaan universiti dalam melihat kepada situasi semasa mahasiswa dan persekitaran universiti.
“Sebagai contoh, modul kesatuan pelajar yang sedang diusahakan oleh KPT mampu diselarikan terhadap pindaan AUKU yang lebih dominan kepada hak dan kuasa mahasiswa untuk mengurusnya sendiri.
“Namun, perlu ada satu kayu ukur yang jelas untuk universiti melihat kebebasan itu supaya tidak disalahgunakan mahupun mengundang lebih banyak keburukan terutamanya sikap dan tatacara mahasiswa,” katanya.
Semalam, Menteri KPT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai pendirian kementerian untuk meminda AUKU bagi memberikan lebih banyak autonomi kepada persatuan mahasiswa di setiap universiti, termasuk universiti awam.
Mohamed Khaled berkata, ketika ini, antara aspek yang sedang diperhalusi adalah pindaan yang akan memberikan mahasiswa autonomi dalam hal berkaitan pengurusan aktiviti oleh persatuan pelajar,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
MPPK dalam kenyataan turut berkata, kewajaran memansuhkan AUKU perlu diteliti bagi setiap peruntukan bukan sahaja membabitkan mahasiswa malah universiti sendiri bagi mengelakkan sebarang bahana.
“Analisis dan mitigasi risiko perlu dijalankan disusuli dengan perangkaan pelan serta panduan untuk mahasiswa dan universiti pasca pemansuhan AUKU jika ingin dimansuhkan.
“Justeru, pihak MPPK juga menegaskan isu pemansuhan AUKU ini tidak ditunggang oleh mana-mana parti politik demi momen lensa kamera kerana perkara ini membabitkan keseluruhan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT),” katanya.
Katanya, perkara ini wajar dibincangkan oleh pihak yang berkepentingan sahaja demi memastikan ketelusan dalam memperjuangkan aspirasi mahasiswa hari ini dan bukannya demi kepentingan politik pihak tertentu sahaja.
“MPPK juga menggesa seluruh gerakan mahasiswa bersatu dalam membawa satu suara yang rasional dengan memfokuskan kepada agenda yang lebih utama iaitu memastikan pindaan di dalam AUKU ini wajib dilakukan supaya agenda utama yang berkaitan dengan pemerkasaan mahasiswa, autonomi mahasiswa dan kesatuan mahasiswa dapat direalisasikan sebaiknya,” katanya.
Sumber: Berita Harian