Terkini
“Perlu ada keazaman antarabangsa menentang sentimen anti-Islam” – PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam lawatan sulungnya ke Arab Saudi, memulakan usaha mengajak negara Islam menangani pelbagai isu dihadapi umat secara lebih berkesan.

- Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam lawatan sulungnya ke Arab Saudi, memulakan usaha mengajak negara Islam menangani pelbagai isu dihadapi umat secara lebih berkesan.
- PM akan membangkitkan isu Islamofobia yang perlu diatasi sebelum ia menjadi tidak terkawal dan menegaskan pada masa ini berada pada tahap yang berbahaya.
- “Sentimen anti-Islam dan anti-Muslim adalah di luar kewarasan, lebih-lebih lagi ia dicetuskan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab di Barat.
- “Perlu ada keazaman pada peringkat antarabangsa untuk mengatasinya dan mengambil pendirian yang tegas menentang perkara ini,” katanya.
- Beliau berkata, Malaysia juga akan memaklumkan kepada delegasi OIC untuk turut melihat isu di Afghanistan supaya golongan wanita di sana diberi lebih peluang terhadap pendidikan.
MAKKAH: Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam lawatan sulungnya ke Arab Saudi, memulakan usaha mengajak negara Islam menangani pelbagai isu dihadapi umat secara lebih berkesan.
Pada lawatan rasminya ke Arab Saudi, Perdana Menteri dijangka bertemu wakil Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada selasa, yang mana Malaysia selaku negara anggota yang aktif, boleh memulakan langkah ke arah itu antara lain mengenai isu Islamofobia dan nasib negara Palestin.
Perdana Menteri akan membangkitkan isu Islamofobia yang perlu diatasi sebelum ia menjadi tidak terkawal dan menegaskan pada masa ini berada pada tahap yang berbahaya.
“Sentimen anti-Islam dan anti-Muslim adalah di luar kewarasan, lebih-lebih lagi ia dicetuskan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab di Barat.
“Perlu ada keazaman pada peringkat antarabangsa untuk mengatasinya dan mengambil pendirian yang tegas menentang perkara ini,” katanya.
Malaysia dan delegasi OIC diketuai Setiausaha Agungnya, Hissein Bharim Taha, juga akan berbincang mengenai isu Afghanistan, terutama mengenai peluang pendidikan yang terhad dalam kalangan wanita di negara itu.
Anwar akan menyentuh supaya lebih banyak usaha dilakukan untuk menyokong perjuangan Palestin, dengan Malaysia dan OIC boleh memberikan lebih komitmen untuk membantu negara itu.
Beliau berkata, Malaysia juga akan memaklumkan kepada delegasi OIC untuk turut melihat isu di Afghanistan supaya golongan wanita di sana diberi lebih peluang terhadap pendidikan.
“Mereka boleh memilih sistem (pentadbiran) yang disukai, tetapi mereka tidak boleh menafikan hak wanita terhadap pendidikan. Ini adalah mesej kita,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkongsi dengan kumpulan itu mengenai perkembangan positif membabitkan penduduk di Selatan Thailand dan Selatan Filipina yang majoritinya beragama Islam.
Melalui lawatan kerja selama tiga harinya ke Arab Saudi, Anwar berkata ia akan menjadi platform untuk Kuala Lumpur dan Riyadh membincangkan peluang baharu, serta isu kepentingan bersama kedua-dua negara.
Anwar yang berada di sini atas jemputan kerajaan Saudi, dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, Penjaga Dua Masjid Suci dan Putera Mahkota Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.
Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Jeddah, semalam sebelum menunaikan umrah di sini.
Rombongan dari Malaysia turut disertai isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah sebelum ini memberitahu media Malaysia yang membuat liputan sempena lawatan itu, berkata kehadiran Anwar akan membolehkan Kuala Lumpur dan Riyadh membina hubungan rapat mereka sambil meneroka peluang dan bidang baharu dan mengukuhkan perkara sedia ada.
Wan Zaidi berkata Anwar juga dijangka menyampaikan ucaptama semasa lawatannya ke Bank Pembangunan Islam di sini, hari ini.
“Mesyuarat ini akan menjadi platform kepada Perdana Menteri dan pemimpin berkaitan membincangkan pelbagai isu kepentingan membabitkan Malaysia.
“Ia juga akan menjadi wadah untuk Perdana Menteri meneroka peluang ekonomi yang boleh diceburi komuniti perniagaan Malaysia di Arab Saudi, serta mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara,” katanya.
Tambahnya, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dijangka dimeterai membabitkan kerjasama antara kedua-dua negara membabitkan agensi kerajaan dan sektor swasta.
Hari ini, Perdana Menteri akan bertemu dengan rakyat Malaysia di Jeddah, sebelum berangkat ke Madinah untuk lawatan.
Arab Saudi ialah rakan dagangan terbesar Malaysia, destinasi eksport ketiga terbesar dan sumber import terbesar di rantau Asia Barat pada tahun lalu, dengan perdagangan dua hala berjumlah RM45.52 bilion (AS$10.26 bilion), meningkat 159.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Wan Zaidi berkata, jumlah eksport ke Arab Saudi meningkat 43.8 peratus bagi tempoh sama, berjumlah RM7.28 bilion (AS$1.66 bilion), manakala jumlah import dari Arab Saudi mencatatkan peningkatan 205.8 peratus, berjumlah RM38.24 bilion (AS$8.60 bilion).
Sumber: Berita Harian

You must be logged in to post a comment Login