Connect with us

Antarabangsa

PBB sifatkan Afghanistan negara paling menindas wanita

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberitahu bahawa Afghanistan menjadi negara paling menindas dan merampas hak wanita dan kanak-kanak perempuan sejak Taliban mengambil alih pentadbirannya.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

PBB sifatkan Afghanistan negara paling menindas wanita
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Afghanistan merupakan negara paling menindas dan merampas hak wanita dan kanak-kanak perempuan sejak Taliban mengambil alih pentadbirannya. – PBB
  • “Adalah menyedihkan untuk menyaksikan usaha mereka yang sengaja dan sistematik untuk menolak wanita dan gadis Afghanistan keluar dari ruang awam.” – Wakil khas Setiausaha Agung PBB dan ketua misi ke Afghanistan, Roza Otunbayeva.
  • Sekatan ke atas wanita, terutama larangan pendidikan dan kerja NGO mendapat kecaman antarabangsa yang hebat.
  • Kerajaan Afghanistan pimpinan Taliban tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berundur dan mendakwa larangan itu adalah penggantungan sementara kerana wanita tidak memakai tudung dengan betul dan tidak mematuhi peraturan pengasingan jantina.
  • Mengenai larangan pendidikan universiti, kerajaan Taliban berkata sesetengah mata pelajaran yang diajar tidak selari dengan nilai-nilai Afghanistan dan Islam.

ISLAMABAD: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberitahu bahawa Afghanistan menjadi negara paling menindas dan merampas hak wanita dan kanak-kanak perempuan sejak Taliban mengambil alih pentadbirannya.

PBB dalam satu kenyataan sempena Hari Wanita Sedunia, berkata pemerintah baharu Afghanistan memberikan tumpuan tunggal untuk mengenakan peraturan yang menyebabkan kebanyakan wanita dan gadis terperangkap dalam rumah.

“Walaupun Taliban pada awalnya menjanjikan pentadbiran yang lebih sederhana, ia terus mengambil langkah keras sejak merampas kuasa pada Ogos 2021 ketika tentera Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berada pada minggu-minggu terakhir pengunduran dari Afghanistan selepas menamatkan perang selama dua dekad.

“Mereka menghalang kanak-kanak perempuan daripada mendapat pendidikan melebihi gred enam dan wanita dari ruang awam seperti taman serta gym.

“Wanita juga dilarang bekerja di pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebangsaan dan antarabangsa serta diarah memakai niqab,” kata kenyataan itu.

Wakil khas Setiausaha Agung PBB dan ketua misi ke Afghanistan, Roza Otunbayeva, berkata Afghanistan di bawah Taliban kekal sebagai negara paling menindas hak wanita di dunia.

“Adalah menyedihkan untuk menyaksikan usaha mereka yang sengaja dan sistematik untuk menolak wanita dan gadis Afghanistan keluar dari ruang awam,” tambahnya.

Sekatan, terutama larangan pendidikan dan kerja NGO mendapat kecaman antarabangsa yang hebat.

Bagaimanapun Taliban tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berundur dan mendakwa larangan itu adalah penggantungan sementara kerana wanita tidak memakai tudung dengan betul dan tidak mematuhi peraturan pengasingan jantina.

Mengenai larangan pendidikan universiti, kerajaan Taliban berkata sesetengah mata pelajaran yang diajar tidak selari dengan nilai-nilai Afghanistan dan Islam.

“Mengurung separuh daripada penduduk negara di dalam rumah mereka adalah satu krisis kemanusiaan dan ekonomi terbesar di dunia serta tindakan yang membawa keburukan kepada negara,” kata Otunbayeva.

Majlis Keselamatan PBB akan bertemu dengan Otunbayeva dan wakil wanita daripada kumpulan masyarakat sivil Afghanistan hari ini.

Menurut kenyataan itu, seramai 11.6 juta wanita dan gadis Afghanistan memerlukan bantuan kemanusiaan.

Bagaimanapun, Taliban terus menjejaskan usaha pihak antarabangsa untuk membantu menerusi larangan wanita untuk bekerja dengan pihak NGO. – AP

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *