Connect with us

Antarabangsa

Maharashtra anjur perhimpunan Hindutva, lontar ucapan kebencian terhadap Muslim

Laporan media berkata beberapa orang penceramah semasa perhimpunan itu melemparkan kecaman terhadap umat Islam dengan mempersoalkan patriotisme mereka, kepercayaan dan tempat ibadat mereka.

Ziera Adurah

Published

on

Maharashtra anjur perhimpunan Hindutva, lontar ucapan kebencian terhadap Muslim
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Beberapa perhimpunan anjuran Hindutva di Maharashtra, India, digunakan untuk melontarkan ucapan kebencian terhadap umat Islam.
  • Sejak November lalu, beberapa perhimpunan yang sama dianjurkan di mana penceramah menggalakkan kekerasan terhadap umat Islam.
  • Kerajaan Maharashtra menjamin pihaknya tidak akan membenarkan perhimpunan di mana kebencian seperti ini boleh diutarakan, bagaimanapun situasi sebaliknya berlaku.
  • Mahkamah Agung mengarahkan polis merakam video perhimpunan akan datang, tetapi ia tidak membantu kerana beberapa minggu selepas arahan itu, sekurang-kurangnya 11 perhimpunan seumpamanya dianjur di negeri itu.

NEW DELHI – Beberapa perhimpunan anjuran Hindutva, terutamanya Sakal Hindu Samaj,  yang berlangsung selama beberapa bulan di Maharashtra, India, digunakan untuk melontarkan ucapan kebencian terhadap umat Islam dan golongan minoriti lain di negara itu.

Laporan media berkata beberapa orang penceramah semasa perhimpunan itu melemparkan kecaman terhadap umat Islam dengan mempersoalkan patriotisme mereka, kepercayaan dan tempat ibadat mereka.

“Apa kegunaan masjid di tanah Shivaji? Kenapa orang Hindu berdiam diri apabila tanah mereka dicerobohi?” tanya Swami Bharatanand Maharaj, daripada Hindu Shakti Peeth di Palghar. 

“Menerusi Jihad Cinta dan Jihad tanah, mereka menangkap kita dan tempat ibadat kita,” katanya kepada media dipetik Kashmir Media Service.

Penggubal undang-undang dari Parti Bharatiya Janata yang digantung, T. Raja Singh, yang mempunyai sejarah membuat ucapan perkauman, menggesa penganut Hindu untuk menolak sekularisme dan memperjuangkan sebuah negara Hindu.

Singh turut menggesa Ketua Menteri, Eknath Shinde untuk mengikut jejak langkah rakan sejawatnya di Uttar, Pradesh Yogi Adityanath supaya membeli 100 jentolak dan menghancurkan rumah ‘pengkhianat’ yang merujuk kepada Muslim.

Dia juga mahu Muslim diboikot secara ekonomi.

Sejak November lalu, beberapa perhimpunan sama dianjurkan Hindutva di seluruh negeri itu di mana penceramah menggalakkan kekerasan terhadap umat Islam atau menyampaikan teori konspirasi berkenaan kelompok minoriti itu.

Malah satu ucapan kebencian dalam salah satu perhimpunan di Mumbai pada Januari lalu sampai ke pengetahuan Mahkamah Agung. 

Dalam perhimpunan itu, Singh menyeru orang Hindu untuk menggunakan senjata jika undang-undang anti-penukaran agama tidak diperkenalkan di negara itu. Seorang penduduk Kerala memfailkan permohonan perbicaraan berterusan mengenai ucapan kebencian di Mahkamah Agung dan mendakwa perhimpunan itu mencetuskan ketidakharmonian kaum.

Pada Februari lalu, selepas kerajaan Maharashtra menjamin pihaknya tidak akan membenarkan perhimpunan di mana kebencian seperti itu boleh diutarakan, Mahkamah Agung India mengarahkan polis untuk merakam video perhimpunan akan datang.

Namun begitu, penelitian Mahkamah Agung India tidak membantu dalam membendung ucapan provokasi dalam perhimpunan dianjurkan Sakal Hindu Samaj kerana beberapa minggu selepas arahan mahkamah itu, sekurang-kurangnya 11 perhimpunan diadakan di negeri terbabit.

Kumpulan pelampau Hindutva seperti Vishwa Hindu Parishad (VHP), Bajrang Dal, Sanatan Sanstha dan Durga Vahini serta beberapa organisasi kurang dikenali seperti Vishwa Shiram Sena, Hindu Rashtra Sena, Hindu Janjagruti Samiti dan Hindu Pratisthan dan sami kuil, mengetuai perhimpunan itu.

Sumber: Kashmir Media Service

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Antarabangsa

Hentikan sekatan ke atas Afghanistan – Menteri Luar Russia

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov pada Jumaat menyeru Barat menarik balik sekatan terhadap Afghanistan yang diperintah Taliban dan mengambil “tanggungjawab” dalam usaha pembinaan semula negara itu.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov.
  • Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov pada Jumaat menyeru Barat menarik balik sekatan terhadap Afghanistan yang diperintah Taliban dan mengambil “tanggungjawab” dalam usaha pembinaan semula negara itu.
  • Lavrov bagaimanapun tidak menyatakan sama ada Moscow akan menarik balik klasifikasi “organisasi pengganas” yang ditetapkannya ke atas Taliban.
  • “Kami mendesak negara-negara Barat mengakui tanggungjawab mereka dalam pembinaan semula Afghanistan pasca-konflik, menarik balik sekatan dan memulangkan aset Kabul yang dirampas,” kata Lavrov dipetik AFP dalam laporan The Moscow Times hari ini.
  • Lavrov berkata demikian di pembukaan forum diplomatik tahunan mengenai Afghanistan, diketuai Russia, melibatkan utusan dari Taliban dan negara-negara jiran di Timur Tengah dan Asia Tengah.
  • Moscow mengembangkan hubungan dengan Taliban sejak kumpulan itu kembali berkuasa di Afghanistan pada 2021 setelah pengunduran Amerika Syarikat dari negara dilanda peperangan itu.

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov pada Jumaat menyeru Barat menarik balik sekatan terhadap Afghanistan yang diperintah Taliban dan mengambil “tanggungjawab” dalam usaha pembinaan semula negara itu.

Lavrov bagaimanapun tidak menyatakan sama ada Moscow akan menarik balik klasifikasi “organisasi pengganas” yang ditetapkannya ke atas Taliban.

“Kami mendesak negara-negara Barat mengakui tanggungjawab mereka dalam pembinaan semula Afghanistan pasca-konflik, menarik balik sekatan dan memulangkan aset Kabul yang dirampas,” kata Lavrov dipetik AFP dalam laporan The Moscow Times hari ini.

Lavrov berkata demikian di pembukaan forum diplomatik tahunan mengenai Afghanistan, diketuai Russia, melibatkan utusan dari Taliban dan negara-negara jiran di Timur Tengah dan Asia Tengah.

Moscow mengembangkan hubungan dengan Taliban sejak kumpulan itu kembali berkuasa di Afghanistan pada 2021 setelah pengunduran Amerika Syarikat dari negara dilanda peperangan itu.

Taliban berada di bawah sekatan Barat selama lebih dua dekad dan pada awalnya dikenakan sekatan pembiayaan kepada al-Qaeda dan kumpulan lain yang dilabelkan sebagai “pengganas”.

Beberapa pegawai Russia menyeru Moscow mengeluarkan Taliban dari senarai “organisasi pengganas dan ekstremis” bagi meningkatkan kerjasama lebih lanjut.

Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi dilaporkan berada di Moscow untuk perbincangan itu.

Lavrov juga dilaporkan berkata Russia tidak akan menerima “negara ketiga” menempatkan pangkalan tentera di Afghanistan atau menubuhkan kemudahan tentera baru di negara-negara jirannya “atas apa jua alasan”.

Russia mempunyai pangkalan tentera besar di Tajikistan yang bersempadan dengan Afghanistan. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending