Terkini
Kes kartel daging: Pengguna terkesan boleh saman syarikat jika ada bukti
Mana-mana pengguna produk syarikat LY Frozen Food yang terkesan dengan kes kartel daging boleh mengemukakan saman sivil terhadap syarikat berkenaan.
- Mana-mana pengguna produk syarikat LY Frozen Food yang terkesan dengan kes kartel daging boleh mengemukakan saman sivil terhadap syarikat berkenaan.
- Namun ia mesti dikemukakan dengan bukti kukuh dan bukan sekadar untuk menang saman sahaja.
- “Tindakan sivil bukan semudah seperti mana yang awak sangkakan sebab dia kena ada kaitan antara orang yang saman dengan yang disaman,” – Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla
- Pembeli yang telah membeli daging dari syarikat berkenaan untuk satu-satu tempoh sepatutnya berjumpa di antara mereka.
- Resit-resit pembelian terhadap syarikat kartel daging itu juga perlu disimpan sebagai bahan bukti.
KUALA LUMPUR – Mana-mana pengguna produk syarikat LY Frozen Food yang terkesan dengan kes kartel daging boleh mengemukakan saman sivil terhadap syarikat berkenaan.
Bagaimanapun, ia mesti dikemukakan dengan bukti kukuh dan bukan sekadar untuk menang saman sahaja.
Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata tindakan saman sivil itu tidak semudah seperti mana disangkakan.
“Tindakan sivil bukan semudah seperti mana yang awak sangkakan sebab dia kena ada kaitan antara orang yang saman dengan yang disaman.
“Jadi, kalau pelanggan syarikat tersebut telah membeli di atas of course kepercayaan yang ini (daging) halal, maka mereka boleh saman.
“Tapi nak buktikan bahawa mereka telah beli (daging), nak buktikan bila mereka beli, apakah daging mereka beli, berapa lama dia beli. Ini semua kena ditampilkan di mahkamah,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times, baru-baru ini.
Beliau berkata pengguna yang telah membeli daging dari syarikat berkenaan untuk satu-satu tempoh sepatutnya berjumpa antara mereka.
“Dan mengambil tindakan yang dipanggil tindakan berkumpulan, representative action melalui seorang peguam dan kemudian saman bagi tujuan memuaskan hati mereka kerana menjadi mangsa penipuan.
“Jangan saman semata-mata nak duit. Saman itu kena atas prinsip diperdayai atas isu agama, itu boleh,” katanya.
Mohamed Haniff berkata resit-resit pembelian terhadap syarikat kartel daging itu juga perlu disimpan sebagai bahan bukti.
“Itu semua kena tunjuk kerana menjadi mangsa penipuan kepada pembekal ini. Boleh tetapi kena ada buktilah, bukan semata-mata cakap,” katanya.
Pada 2 Disember 2020, media melaporkan kewujudan kartel penyeludupan daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina di mana kartel berkenaan membungkus semula daging di gudang.
Di gudang terletak di Senai, Johor Bahru itu kartel tersebut membuat label dan cap palsu yang ditampal pada kotak daging serta menggunakan logo halal sebelum dijual ke pasaran di seluruh negara.
Terbaru, Pengarah Syarikat LY Frozen Food, Yong Chee Kong didenda RM1.6 juta selepas mengaku bersalah terhadap 14 pertuduhan dibacakan Hakim Fatimah Zahari.
Chee Kong diperintahkan membayar denda RM1.5 juta terhadap tujuh pertuduhan dikenakan terhadap LY Frozen Food dan denda RM100,000 terhadap tujuh pertuduhan lain di mana jika gagal dilangsaikan, akan dipenjarakan selama enam bulan. – The Merdeka Times