Connect with us

Terkini

KDN sasar muktamadkan 946 permohonan kewarganegaraan di Sarawak sebelum Jun

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan untuk memuktamadkan 946 permohonan kewarganegaraan di Sarawak sebelum Jun ini.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

KDN sasar muktamadkan 946 permohonan kewarganegaraan di Sarawak sebelum Jun
Foto: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri).
  • Jumlah itu merangkumi semua perkara berkaitan isu kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 15A, Perkara 15 (2), Perkara 16, Perkara 19 dan Perkara 30. – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
  • Daripada jumlah itu, 323 permohonan mengikut Perkara 15A sudah dimuktamadkan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan (JKK) yang dibentuk KDN bersama Kerajaan Sarawak.
  • “Apabila mendapat taraf kewarganegaraan kanak-kanak itu layak menikmati semua kemudahan dan paling utama bagi membolehkan mereka mendapat akses kepada pendidikan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, di sini, semalam.

KUCHING: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan untuk memuktamadkan 946 permohonan kewarganegaraan di Sarawak sebelum Jun ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata jumlah itu merangkumi semua perkara berkaitan isu kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 15A, Perkara 15 (2), Perkara 16, Perkara 19 dan Perkara 30.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 323 permohonan mengikut Perkara 15A sudah dimuktamadkan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan (JKK) yang dibentuk KDN bersama Kerajaan Sarawak.

“Sebanyak 177 daripada permohonan itu diputuskan sebelum ini, manakala 146 permohonan lagi dimuktamadkan pada mesyuarat semalam,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh.

Seramai 40 kanak-kanak berumur di bawah 21 tahun menerima surat yang mengesahkan taraf kewarganegaraan mereka pada majlis itu.

Saifuddin berkata, inisiatif Sarawak menubuhkan jawatankuasa itu membantu KDN mempermudahkan proses untuk pengesahan taraf warga negara.

Justeru, katanya, langkah Sarawak itu harus dicontohi negeri lain dalam usaha menangani isu kewarganegaraan.

“Apabila mendapat taraf kewarganegaraan kanak-kanak itu layak menikmati semua kemudahan dan paling utama bagi membolehkan mereka mendapat akses kepada pendidikan.

“Inilah yang harus dicontohi negeri lain dan kami di KDN mengalu-alukan mana-mana kerajaan negeri yang mahu menubuhkan jawatankuasa khas bagi melancarkan proses untuk menyelesaikan isu kewarganegaraan,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa khas yang ditubuhkan di Sarawak itu membantu memudah cara KDN, antaranya memastikan dokumen dikemukakan lengkap bagi proses pembuktian.

“Ini kerana kami di KDN menerima banyak permohonan tidak lengkap, misalnya pengesahan taraf perkahwinan dan dokumen pengambilan anak angkat,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, pihaknya menerima 55,000 permohonan kewarganegaraan di seluruh negara sejak 2017 hingga bulan ini.

Justeru, katanya, KDN menyasarkan untuk menyelesaikan 10,000 permohonan menjelang hujung tahun ini.

“Dalam tempoh November tahun lalu hingga sekarang, KDN sudah membuat keputusan terhadap 4,297 permohonan berkaitan semua perkara kewarganegaraan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author