Terkini
Isu himpunan LGBT, Polis ambil keterangan enam individu terlibat
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil keterangan daripada enam individu dipercayai terlibat dalam himpunan didakwa perarakan Hari Wanita di sekitar Dataran Merdeka dan Sogo, Ahad lalu.
- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil keterangan daripada enam individu dipercayai terlibat dalam himpunan didakwa perarakan Hari Wanita di sekitar Dataran Merdeka dan Sogo, Ahad lalu.
- “Kes disiasat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya kepada Utusan.
- Ketika ditanya dakwaan beberapa pihak mengaitkan perarakan itu dengan perhimpunan kumpulan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ), beliau memaklumkan, semuanya masih dalam siasatan polis.
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil keterangan daripada enam individu dipercayai terlibat dalam himpunan didakwa perarakan Hari Wanita di sekitar Dataran Merdeka dan Sogo, Ahad lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, keenam-enam individu itu hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi kelmarin untuk dirakam keterangan berhubung siasatan tersebut.
“Antara yang hadir termasuk penganjur perhimpunan terbabit. Kita akan memanggil beberapa lagi individu bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ketika ditanya dakwaan beberapa pihak mengaitkan perarakan itu dengan perhimpunan kumpulan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ), Noor Dellhan memaklumkan, semuanya masih dalam siasatan polis.
Semalam, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahaya mempersoalkan penganjuran perarakan tersebut di Dewan Rakyat apabila apabila mendakwa ia berunsur agenda LGBTQ apabila terdapat sepanduk dan bendera untuk memperjuangkan hak mereka.
“Mereka berani mendedahkan pendirian mereka dengan jelas malah diwajahkan dengan ucapan-ucapan dan persembahan seperti filem Mentega Terbang sebelum ini,” katanya.
Ahad lalu, Noor Dellhan mengesahkan polis membuka siasatan berhubung perhimpunan yang disertai 150 individu terdiri daripada aktivis hak asasi, mahasiswa dan ahli parti politik.
Sumber: Utusan Malaysia