Connect with us

Terkini

117,656 murid sekolah rendah belum kuasai Tahap 1 dan 2, subjek BM

Seramai 117,656 daripada 1,948,975 orang murid sekolah rendah belum kuasai tahap penguasaan (TP) minimum iaitu TP1 dan TP2 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, demikian menurut data pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) melalui Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB).

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

117,656 murid sekolah rendah belum kuasai Tahap 1 dan 2, subjek BM
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • 117,656 daripada 1,948,975 orang murid sekolah rendah belum kuasai tahap penguasaan (TP) minimum iaitu TP1 dan TP2 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.
  • Demikian menurut data pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) melalui Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB).
  • Data itu juga menunjukkan, sejumlah 151,676 orang murid daripada 2,493,481 masih belum mencapai tahap penguasaan minimum bagi mata pelajaran Matematik.
  • Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), memaklumkan data di atas adalah  berdasarkan 90.6 peratus sekolah mengisi pelaporan pentaksiran berterusan melalui SPPB serta 91.4 peratus buah sekolah mengisi pelaporan melalui SPPB bagi ujian akhir sehingga 16 Mac 2023.
  • Kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Negara pada Selasa mengatakan bahawa pihaknya telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan murid dapat menguasai kemahiran asas 3M seperti Program Bantu Baca, Program Pemulihan Khas, Program Literasi dan Numerasi atau Primary Literacy and Numeracy (PLaN).

KUALA LUMPUR – Seramai 117,656 daripada 1,948,975 orang murid sekolah rendah belum kuasai tahap penguasaan (TP) minimum iaitu TP1 dan TP2 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, demikian menurut data pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) melalui Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB).

Data itu juga menunjukkan, sejumlah 151,676 orang murid daripada 2,493,481 masih belum mencapai tahap penguasaan minimum bagi mata pelajaran Matematik.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), memaklumkan data di atas adalah  berdasarkan 90.6 peratus sekolah mengisi pelaporan pentaksiran berterusan melalui SPPB serta 91.4 peratus buah sekolah mengisi pelaporan melalui SPPB bagi ujian akhir sehingga 16 Mac 2023 lalu.

Kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Negara pada Selasa mengatakan bahawa pihaknya telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan murid dapat menguasai kemahiran asas 3M seperti Program Bantu Baca, Program Pemulihan Khas, Program Literasi dan Numerasi atau Primary Literacy and Numeracy (PLaN).

KPM menjalankan Program Bantu Baca bertujuan memperkukuhkan kemahiran membaca dalam kalangan murid sekolah rendah. 

“Program ini dilaksanakan secara kolaboratif melibatkan pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) yang menjalani latihan praktikum di sekolah, pelajar matrikulasi dan murid sekolah berasrama penuh dengan kerjasama komuniti setempat.

“Melalui Program Pemulihan Khas, murid yang dikenal pasti belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) ditempatkan di kelas pemulihan khas semasa mata pelajaran Bahasa Melayu atau Matematik diajar di kelas aliran perdana,” katanya.

Kenyataan itu bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bobbey Suan yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan berapa peratuskah murid tidak boleh menguasai 3M dan apakah langkah-langkah kementerian untuk memastikan murid-murid ini tidak tercicir dalam mata pelajaran lain.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa melalui Program Pemulihan Khas, guru pemulihan dengan kerjasama guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik memberi bimbingan bersesuaian kepada murid sehingga mereka dapat menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi.

Program Literasi dan Numerasi atau Primary Literacy and Numeracy (PLaN) juga diperkenalkan KPM sejak 2020 untuk memastikan murid menguasai sekurang-kurangnya tahap minimum (Tahap Penguasaan 3) dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.

Pelaksanaan program itu adalah sebagai sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menyeluruh untuk membantu memantapkan tahap penguasaan 3M. 

Dalam pada itu, modul latihan intervensi berfokus dan terbeza (MoLIB) dan Schemes of Work (SOW) juga disediakan untuk kegunaan guru bagi menangani isu penguasaan 3M dalam kalangan murid. 

Selain itu, PLaN juga menyediakan bahan bantu belajar murid serta item pentaksiran untuk menyokong pelaksanaan PBD.

“KPM juga telah merancang untuk memugarkan semula pelaksanaan Program Bimbingan 3M (PROBIM) bagi murid sekolah menengah (kelas peralihan sehingga tingkatan 5) supaya murid dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira sebelum menamatkan persekolahan.

“KPM yakin program intervensi dan langkah strategik dalam membantu kemahiran membaca yang dilaksanakan ini dapat membantu murid menguasai mata pelajaran lain,” katanya yang memberi keutamaan kepada aspek literasi dan numerasi semua murid.

Semalam, The Merdeka Times melaporkan terdapat guru meluahkan kebimbangan di Facebook akan bagaimana pelajar di sekolahnya ingin menghadapi silibus yang disifatkan sukar andai ramai pelajar tahun 5 didakwa masih belum menguasai asas 3M.

Guru itu meminta agar 3M diperkukuhkan terlebih dahulu di peringkat sekolah rendah. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *