Terkini
PH memang janji hapuskan PTPTN – Wan Ahmad Fayhsal
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Pakatan Harapan (PH) memang berjanji menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
- Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa PH memang berjanji menghapuskan pinjaman PTPTN dalam manifesto PRU15.
- “Manifesto PH tentang pengampunan hutang PTPTN bersasar ada dibuat. Saya tidak menyalahi Dewan Rakyat. Saya tidak kata hutang PTPTN ini dihapuskan secara total tetapi saya kata memang ada.
- “Saya tanya apa iltizam kerajaan. Apakah polisi kerajaan hari ini berhubung hutang PTPTN kerana anak muda ingin tahu mengenai polisi ini.”
- “Manifesto ini nampaknya tidak ingin dijadikan rujukan oleh mereka untuk dilunaskan janji-janji selepas menjadi kerajaan. Kalau kita imbau, banyak pihak berjanji dan orang yang paling banyak janji dengan formula adalah YB Pandan.
KUALA LUMPUR – Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Pakatan Harapan (PH) memang berjanji menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Parlimen Machang itu berkata, menerusi manifesto berkenaan, PH berjanji untuk menghapuskan pinjaman PTPTN secara bersasar.
Kata Wan Ahmad Fayhsal, beliau bukan mahu mengelirukan Dewan Rakyat dengan membangkitkan perkara tersebut.
“Manifesto PH (tentang) pengampunan hutang PTPTN bersasar ada (dibuat). Saya tidak menyalahi Dewan Rakyat. Saya tidak kata hutang PTPTN ini dihapuskan secara total tetapi saya kata memang ada.
“Saya tanya apa iltizam kerajaan. Apakah polisi kerajaan hari ini berhubung hutang PTPTN kerana anak muda ingin tahu mengenai polisi ini,” kata beliau semasa sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas usul yang dibuat oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli supaya Dewan Rakyat mengambil tindakan terhadap dirinya kerana membuat kenyataan mengelirukan mengenai janji berkenaan.
Rafizi mengemukakan usul terbabit ketika mencelah sewaktu sesi soalan tambahan dari Wan Ahmad Fayhsal berhubung usaha kerajaan untuk membantu golongan miskin dan isi rumah B40 dalam pembayaran pinjaman PTPTN.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dewan adalah disifatkan menghina majlis dan ahli tu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan tersebut.
“YB Machang sebelum ini menyatakan bahawa dalam manifesto PH sebelum ni (ada janji) menghapuskan PTPTN. Itu satu pembohongan kerana tak ada janji itu dalam manifesto PH baru-baru ini.
“Perkara itu suatu pembohongan yang jatuh (merujuk) kepada Perkara 36 (12). Saya minta dewan ambil tindakan,” kata Rafizi.
Usul tersebut mendapat keizinan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Noor yang kemudian meminta Rafizi membuat usul terbabit secara bertulis
Kata Wan Ahmad Fayhsal, daripada respons yang diberikan Rafizi, beliau percaya PH tidak ingin menunaikan janji berkenaan.
“Manifesto ini nampaknya tidak ingin dijadikan rujukan oleh mereka untuk dilunaskan janji-janji selepas menjadi kerajaan. Kalau kita imbau, banyak pihak berjanji dan orang yang paling banyak janji dengan formula adalah YB Pandan.
“Jangan kata ini bukan kita suci lagi. Saya rasa kita sudah melepasi fasa tersebut. Apakah pendirian sebenar kerajaan? Itu saya tidak nampak,” ulasnya.
Sumber: Sinar Harian