Terkini
Perbelanjaan pengguna tetap normal tanpa pengeluaran KWSP – BNM
Perbelanjaan pengguna dijangka kembali normal tahun ini meskipun tanpa kemudahan pengeluaran khas simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.
- Berdasarkan perangkaan pada suku keempat 2022 di memperlihatkan penggunaan swasta kembali normal berikutan impak rangsangan ekonomi diperkenalkan kerajaan ketika pandemik termasuk pengeluaran simpanan KWSP.
- “Jika dilihat pada prestasi ekonomi Malaysia suku keempat 2022, penggunaan swasta sudah kembali normal kerana sokongan yang semakin berkurangan daripada semua langkah (rangsangan pemulihan ekonomi).” – Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.
- “Kesan pengeluaran khas KWSP itu sudah diambil kira (dalam perbelanjaan swasta tahun ini),” katanya.
KUALA LUMPUR: Perbelanjaan pengguna dijangka kembali normal tahun ini meskipun tanpa kemudahan pengeluaran khas simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Beliau berkata, berdasarkan perangkaan pada suku keempat 2022 memperlihatkan penggunaan swasta telah kembali normal berikutan impak rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan ketika pandemik termasuk pengeluaran simpanan KWSP.
Katanya, pada suku keempat 2022, aktiviti sektor swasta kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh penggunaan dan pelaburan swasta.
Beliau menambah, penggunaan swasta yang terus meningkat didorong terutamanya oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik.
“Jika dilihat pada prestasi ekonomi Malaysia suku keempat 2022, penggunaan swasta sudah kembali normal kerana sokongan yang semakin berkurangan daripada semua langkah (rangsangan pemulihan ekonomi).
“Kesan pengeluaran khas KWSP itu sudah diambil kira (dalam perbelanjaan swasta tahun ini),” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi suku keempat 2022 di sini, hari ini.
Nor Shamsiah berkata, pemacu utama perbelanjaan pengguna adalah pendapatan rakyat, yang mana dengan pemulihan berterusan pasaran pekerja akan menyokongnya.
Beliau berkata, dengan ekonomi negara terus berkembang, kadar pengangguran yang bertambah baik dan peningkatan penciptaan pekerjaan akan menyokong penggunaan swasta termasuk perbelanjaan pengguna.
“Jadi, kami menjangkakan penggunaan swasta tahun ini akan kembali normal kepada purata jangka masa panjang,” katanya.
KWSP sebelum ini mendedahkan kepada BH bahawa pengeluaran RM145 bilion oleh 8.1 juta ahlinya menerusi empat siri kemudahan pengeluaran ketika pandemik COVID-19 menyebabkan pengurus dana persaraan itu ‘terlepas’ peluang mengembangkan aktiviti pelaburannya.
Empat kemudahan pengeluaran KWSP yang dibenarkan kepada pencarum dalam tempoh pandemik ialah i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas.
Pengeluaran yang dilakukan bagi membantu pencarum mendepani situasi luar biasa dalam meringankan beban kewangan itu bagaimanapun tidak memberi kesan ketara terhadap portfolio pelaburan pengurus dana persaraan itu.
Sumber: Berita Harian