Connect with us

Terkini

Lebih 300,000 pencarum gesa kerajaan benarkan pengeluaran KWSP bersasar

Seramai 320,000 pencarum yang mempunyai baki simpanan RM100,000 ke atas di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran bersasar.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Lebih 300,000 pencarum gesa kerajaan benarkan pengeluaran KWSP bersasar
  • Presiden Global Human Rights Federation (GHRF), S Shashi Kumar berkata, pencarum tersebut kini berada dalam kesempitan teruskan hidup dan bina semula kehidupan hampir musnah selepas pandemik Covid-19.
  • “Ramai hilang pekerjaan, sukar untuk dapatkan pekerjaan kembali kerana faktor umur dan sebagainya.” 
  • “Kita tidak mahu merayu kerana ini hak kita. Ramai terpaksa tidur dalam kereta,” katanya.
  • “Hari tua bukanlah semata-mata bergantung pada wang caruman KWSP, namun bergantung pada kehidupan hari ini.” – Timbalan Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Mohammad Farhan Jailani

PUTRAJAYA – Seramai 320,000 pencarum yang mempunyai baki simpanan RM100,000 ke atas di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran bersasar.

Presiden Global Human Rights Federation (GHRF), S Shashi Kumar berkata, pencarum tersebut kini berada dalam kesempitan untuk meneruskan hidup dan membina semula kehidupan yang hampir musnah selepas pandemik Covid-19.

“Ramai yang telah hilang pekerjaan, sukar untuk dapatkan pekerjaan kembali kerana faktor umur dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan bangunan Perdana Putra pada Jumaat.

Anwar diwakili oleh Pegawai Khas Setiausaha Sulit Kanan, Muhammad Fikri Khalid.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya bertanggungjawab mendengar rintihan dan membantu rakyat.

“(Datuk Seri) Ahmad Maslan mengatakan KWSP tidak dibenarkan untuk dikeluarkan…

“Tidak mengapalah, rumahnya besar, dapat elaun, minyak kereta, bil elektrik dan telefon kerajaan bayar,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar perlu ingat jasa rakyat sehingga mereka dapat membentuk kerajaan.

“Tanpa rakyat kerajaan tidak akan ada,” ujarnya.

Shashi Kumar berkata, rakyat seolah-olah menagih untuk mengeluarkan wang hak milik mereka.

“Kita tidak mahu merayu kerana ini hak kita. Ramai yang terpaksa tidur dalam kereta.

Mana ada ahli Parlimen yang turun bantu rakyat melainkan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Mohammad Farhan Jailani berkata, NGO memahami kegusaran kerajaan terhadap hari persaraan, tetapi rakyat perlu hidup pada hari ini.

“Hari tua bukanlah semata-mata bergantung kepada wang caruman KWSP, namun bergantung kepada kehidupan hari ini.

Lagipun, wang ini titik peluh pencarum, bukan hak kerajaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

 

Author