Terkini
Jawatankuasa khas ditubuh, cetak & edar sejuta al-Quran ke seluruh dunia
Kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelaras usaha pengumpulan dana untuk mencetak dan mengedar satu juta naskah al-Quran ke seluruh dunia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
- Kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas dalam menyelaras usaha pengumpulan dana untuk mencetak dan mengedar satu juta naskah al-Quran seluruh dunia.
- Jawatankuasa khas itu diketuai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
- “Usaha ini memerlukan penyelarasan bagi memenuhi aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam mencetak dan mengedarkan satu juta naskah al-Quran ke seluruh dunia,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
- Januari lalu, Perdana Menteri meluahkan hasratnya itu selepas insiden pembakaran kitab suci umat Islam di Sweden.
KUALA LUMPUR: Kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelaras usaha pengumpulan dana untuk mencetak dan mengedar satu juta naskah al-Quran ke seluruh dunia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menurutnya, jawatankuasa khas itu diketuai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Usaha ini memerlukan penyelarasan bagi memenuhi aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mencetak dan mengedarkan satu juta naskah al-Quran ke seluruh dunia,” katanya selepas menghadiri perasmian Pelan Pembangunan Masyarakat Setempat Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Masjid Jamek, Kampung Bharu di sini hari ini.
Pada 28 Januari lalu, Perdana Menteri meluahkan hasratnya supaya Malaysia mencetak dan mengagihkan satu juta naskah al-Quran seluruh dunia selepas insiden pembakaran kitab suci itu di Sweden.
Mengulas nasihat Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan perayaan Thaipusam, Datuk Seri Mohd Na’im berkata ia bertujuan untuk mengelakkan umat Islam daripada terlibat dalam upacara keagamaan pada hari tersebut.
“(Ia) tidak bermakna Muslim tidak boleh bersama dengan orang bukan Islam, kita menggalakkan semangat perpaduan,” katanya.
Berkenaan Pelan Pembangunan Masyarakat Setempat YaPEIM, beliau berkata objektifnya adalah meningkatkan status sosioekonomi masyarakat tempatan, pendapatan mereka dan kelestarian hidup.
SUMBER: ASTRO AWANI