Antarabangsa
Indonesia gubal undang-undang bolehkan organisasi media dapat bayaran daripada platform digital
Indonesia merangka undang-undang membolehkan organisasi media mendapat bayaran daripada platform digital atau ‘aggregator’ yang menyiarkan kandungan mereka.
- Ahli Majlis Media Indonesia, Arif Zulkifli, berkata undang-undang baharu itu dijangka memberi keseimbangan antara media dan firma teknologi dalam penyediaan kandungan dan menjana keuntungan.
- Selama ini platform digital di Indonesia termasuk Facebook, Alphabet Inc’s dan Google raih keuntungan besar menerusi kandungan dihasilkan oleh syarikat media manakala syarikat media hanya peroleh sejumlah kecil keuntungan terbabit.
- “Tiada keseimbangan dalam perkara ini. Di bawah undang-undang baharu, Majlis Media akan menentukan struktur harga dan skim pembayaran selain berfungsi sebagai mediator dalam sebarang pertikaian,” katanya.
- Ia dijangka diletakkan sebagai peraturan presiden dalam tempoh sebulan ini.
JAKARTA: Indonesia merangka undang-undang membolehkan organisasi media mendapat bayaran daripada platform digital atau ‘aggregator’ yang menyiarkan kandungan mereka.
Ahli Majlis Media Indonesia, Arif Zulkifli, berkata undang-undang baharu itu dijangka memberi keseimbangan antara media dan firma teknologi dalam penyediaan kandungan dan menjana keuntungan.
Katanya, selama ini platform digital di Indonesia termasuk Facebook, Alphabet Inc’s dan Google meraih keuntungan besar menerusi kandungan yang dihasilkan oleh syarikat media.
Manakala syarikat media hanya memperoleh sejumlah kecil keuntungan terbabit.
“Tiada keseimbangan dalam perkara ini. Di bawah undang-undang baharu, Majlis Media akan menentukan struktur harga dan skim pembayaran selain berfungsi sebagai mediator dalam sebarang pertikaian,” katanya.
Undang-undang terbabit yang dicadangkan sejak dua tahun lalu, diinspirasi daripada peraturan sama yang digunapakai di Jerman dan Australia.
Ia dijangka diletakkan sebagai peraturan presiden dalam tempoh sebulan ini.
Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika bercakap pada acara menghargai media Indonesia, memaklumkan keperluan segera undang-undang baharu terbabit selepas mendapati kira-kira 60 peratus pasaran pengiklanan di Asia Tenggara, dikuasai platform digital asing.
“Sekitar 60 peratus perbelanjaan pengiklanan diambil alih oleh media digital terutama platform asing. Ini amat menyedihkan,” katanya.
Di Australia, Kod Perundingan Media berkuat kuasa pada Mac 2021.
Menerusi penguatkuasaan peraturan itu, firma teknologi memeterai lebih 30 perjanjian dengan organisasi media dengan melakukan pembayaran kepada setiap kandungan yang menjana keuntungan.
Perjanjian itu juga membolehkan organisasi media menggaji lebih ramai wartawan serta membuat pelaburan yang bernilai dalam operasi mereka. – REUTERS
Sumber: Berita Harian