Terkini
Pengangkutan awam percuma untuk OKU – Anthony Loke
Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) boleh menggunakan pengangkutan awam tanpa perlu membayar tambang tidak lama lagi.
- Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bersetuju dengan cadangan memberikan perkhidmatan pengangkutan awam percuma kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
- Perkara itu dicadangkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri sebelum ini.
- “Apa yang dicadangkan oleh YB Nancy ialah memberikan pengangkutan percuma kepada mereka, itu sesuatu yang memang kita boleh laksanakan,” – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
PUTRAJAYA – Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) boleh menggunakan pengangkutan awam tanpa perlu membayar tambang tidak lama lagi.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang bersetuju dengan cadangan itu yang disuarakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
“We can implement that, I think quite soon. Especially with the launching of this policy-frame today, it is in line with Malaysia Madani.
“Apa yang dicadangkan oleh YB Nancy ialah memberikan pengangkutan percuma kepada mereka, itu sesuatu yang memang kita boleh laksanakan, iaitu kita mengecualikan bayaran kepada OKU.
“Tetapi ada implikasi kewangan yang kita perlu lihat sebelum kita buat keputusan dan pengumuman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘Membangun Malaysia Madani’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Katanya, implementasi cadangan itu adalah selari dengan amanat disebut Perdana Menteri.
“One of the key principles is Humanistic Economy (Ekonomi Manusiawi). We have to look at that to help the poor, to help the needy, and of course OKU is one of the segments which, of course, we want to provide a good transportation system for them.”
Beliau turut mengulas mengenai kemudahan pengangkutan awam ‘mesra OKU’ yang perlu dijaga dan diselenggara dengan baik.
“Itu yang saya selalu tekankan, elevator perlu bergerak, lif kena bergerak. Kalau lif tidak bergerak, bagaimana OKU nak naik ke stesen? Itu memang dalam pemerhatian kita, dan penambahbaikan adalah berterusan,” katanya. — The Merdeka Times