Antarabangsa
Nilai faedah bakal habis menjelang 2025 jika kos haji tidak dinaikkan – Ketua BPKH
Badan Pengurusan Kewangan Haji (BPKH) mendedahkan potensi nilai faedah yang disimpan badan tersebut sepanjang tahun 2020 hingga 2021 akan habis jika kerajaan bersetuju untuk tidak menaikkan kos haji tahun ini.
- Badan Pengurusan Kewangan Haji (BPKH) mendedahkan potensi nilai faedah yang disimpan badan sepanjang tahun 2020 hingga 2021 akan habis jika kerajaan bersetuju untuk tidak menaikkan kos haji tahun ini.
- “Kalau berdasarkan pengiraan kami dengan nilai yang sama seperti tahun lepas, kami menganggarkan penjimatan pelaburan akibat ketiadaan penghantaran jemaah dari tahun 2020 hingga 2021 berikutan Covid-19 akan terhakis dan habis pada tahun 2025. – Ketua BPKH, Fadlul Imansyah
- “Ini hanya terpakai sekiranya pada tahun 2023 dan 2024, kerajaan menggunakan peratusan yang sama walaupun Yuran Pelaksanaan Haji (BPIH) meningkat secara kumulatif,” katanya.
JAKARTA: Badan Pengurusan Kewangan Haji (BPKH) mendedahkan potensi nilai faedah yang disimpan badan tersebut sepanjang tahun 2020 hingga 2021 akan habis jika kerajaan bersetuju untuk tidak menaikkan kos haji tahun ini.
Ketua BPKH, Fadlul Imansyah menganggarkan, jika jumlah peratusan dana badan itu kekal seperti tahun lalu iaitu 60 peratus nilai manfaat dan 40 peratus lagi digunakan untuk pembiayaan kos perjalanan haji, dana terurus akan habis pada tahun 2025.
“Kalau berdasarkan pengiraan kami dengan nilai yang sama seperti tahun lepas, kami menganggarkan penjimatan pelaburan akibat ketiadaan penghantaran jemaah dari tahun 2020 hingga 2021 berikutan Covid-19 akan terhakis dan habis pada tahun 2025.
“Bagaimanapun, ini hanya terpakai sekiranya pada tahun 2023 dan 2024, kerajaan menggunakan peratusan yang sama walaupun Yuran Pelaksanaan Haji (BPIH) meningkat secara kumulatif,” katanya.
Jelas Fadlul, setakat ini pihaknya menguruskan dana bakal jemaah haji dengan meletakkan 70 peratus dalam Sekuriti Pelaburan Syariah Negara (SBSN) dan selebihnya dalam simpanan bank syariah nasional.
Menurutnya, dana dalam deposit berkenaan juga telah dijamin oleh Lembaga Penjamin Simpanan (LPS).
Fadlul turut menegaskan, BPKH tidak melabur secara langsung dalam sektor infrastruktur kerana sekiranya kos haji 2023 terpaksa dinaikkan, dikhuatiri timbul anggapan masyarakat bahawa dana haji digunakan untuk tujuan pembangunan.
“Kita tidak ada pelaburan langsung dalam infrastruktur. Kita letak dalam sekuriti syariah dan secara automatik negara memberi jaminan dana tersebut selamat,” jelasnya.
Sementara itu, Fadlul mendedahkan kepentingan melabur maksimum 30 peratus dalam deposit bank kerana perbankan Islam menjadi rakan kongsi BPKH dalam membayar perbelanjaan haji kepada kerajaan Arab Saudi.
Sumber: Utusan Malaysia