Antarabangsa
NGO asing kembali beroperasi di Afghanistan
Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dalam sektor penjagaan kesihatan kembali memberi bantuan di Afghanistan selepas pihak berkuasa Taliban memberi jaminan bahawa wanita boleh terus bekerja dalam sektor berkenaan.

- Beberapa NGO dalam sektor penjagaan kesihatan kembali beri bantuan di Afghanistan selepas pihak berkuasa Taliban beri jaminan bahawa wanita boleh terus bekerja dalam sektor berkenaan.
- NGO seperti CARE, Save the Children dan Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC) pada akhir Disember lalu menggantung operasi mereka sebagai bantahan terhadap perintah kerajaan melarang wanita Afghanistan terbabit dengan kerja bantuan kesihatan.
- “Kami dapat jaminan dari pihak berkuasa berkaitan bahawa kakitangan wanita akan selamat dan boleh bekerja tanpa halangan,” kata Save the Children
- “IRC dan CARE turut sahkan mereka kembali sambung semula pekerjaan mereka. Masyarakat antarabangsa turut gesa kerajaan untuk kembalikan pekerja wanita dalam sektor kesihatan,” katanya.
KABUL: Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dalam sektor penjagaan kesihatan kembali memberi bantuan di Afghanistan selepas pihak berkuasa Taliban memberi jaminan bahawa wanita boleh terus bekerja dalam sektor berkenaan.
Ratusan NGO memainkan peranan dalam menangani isu kemanusiaan terburuk di dunia, dengan separuh daripada 38 juta penduduk Afghanistan kini kelaparan serta tiga juta kanak-kanak berisiko kekurangan zat makanan.
NGO seperti CARE, Save the Children dan Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC) pada akhir Disember lalu menggantung operasi mereka sebagai bantahan terhadap perintah kerajaan yang melarang wanita Afghanistan terbabit dengan kerja bantuan kesihatan.
“Kami mendapat jaminan daripada pihak berkuasa berkaitan bahawa kakitangan wanita akan selamat dan boleh bekerja tanpa halangan,” kata Save the Children dalam satu kenyataan bagi mengesahkan NGO itu sudah menyambung semula kerja dalam sektor kesihatan itu sejak beberapa hari lalu.
“Bagaimanapun, disebabkan larangan secara menyeluruh masih dilaksanakan, dan tidak mendapat sebarang jaminan bahawa pekerja wanita boleh bekerja, aktiviti kami dalam sektor yang lain masih ditangguhkan.
“IRC dan CARE turut mengesahkan mereka kembali menyambung semula pekerjaan mereka. Masyarakat antarabangsa turut menggesa kerajaan untuk mengembalikan pekerja wanita dalam sektor kesihatan.
Jurucakap kementerian ekonomi yang mengeluarkan arahan larangan itu, Abdul Rahman Habib, memaklumkan kepada AFP bahawa ‘(tindakan) itu adalah satu keperluan kepada masyarakat yang membolehkan wanita dibenarkan bekerja dalam sektor kesihatan’.
“Kita memerlukan mereka untuk membantu kanak-kanak yang kekurangan zat makanan serta wanita lain yang memerlukan bantuan kesihatan. Kakitangan wanita ini bekerja selaras dengan nilai agama dan budaya kita,” katanya.
NGO turut mendakwa, pegawai Taliban berkata larangan itu dikenakan kerana wanita tidak mematuhi peraturan kumpulan ultra konservatif iaitu memakai hijab serta perlu ditemani saudara lelaki untuk menghantar mereka ke tempat kerja.
Pekerja wanita sangat diperlukan dalam operasi bantuan di Afghanistan terutama bagi membantu wanita lain yang memerlukan.
Larangan itu adalah salah satu daripada perintah yang dikeluarkan, selepas pihak berkuasa pada bulan lalu menghalang wanita daripada mendapatkan pendidikan di universiti.
Sejak Taliban kembali berkuasa iaitu pada Ogos 2021, pihak berkenaan sudah mengenakan beberapa sekatan terhadap wanita Afghanistan termasuk mengharamkan mereka mendapat pendidikan di sekolah menengah dan menyebabkan ramai wanita kehilangan kerja dalam sektor kerajaan.
Golongan wanita ini juga dihalang daripada pergi ke taman, gimnasium dan tempat mandi awam. – AFP
Sumber: Berita Harian
