Antarabangsa
Menteri Israel arah bendera Palestin diturunkan, anggap kibar bendera sokong pengganas
Menteri Keselamatan Negara berhaluan kanan baharu Israel, Itamar Ben-Gvir mengarahkan polis untuk menurunkan bendera Palestin di tempat awam.
- Menteri Keselamatan Negara berhaluan kanan baharu Israel, Itamar Ben-Gvir mengarahkan polis untuk menurunkan bendera Palestin di tempat awam.
- Undang-undang Israel tidak mengharamkan bendera Palestin tetapi polis dan tentera berhak untuk turunkan apabila mereka menganggap ancaman ketenteraman awam.
- “Tidak mungkin pelanggar undang-undang mengibarkan bendera pengganas, menghasut dan menggalak pengganasan, jadi saya mengarahkan agar bendera yang menyokong pengganasan diturunkan daripada tempat awam dan menghentikan hasutan terhadap Israel,” kata Ben-Gvir.
BAITULMAQDIS: Menteri Keselamatan Negara berhaluan kanan baharu Israel, Itamar Ben-Gvir mengarahkan polis untuk menurunkan bendera Palestin di tempat awam.
Undang-undang Israel tidak mengharamkan bendera Palestin tetapi polis dan tentera mempunyai hak untuk menurunkannya apabila mereka menganggap terdapat ancaman terhadap ketenteraman awam.
Arahan daripada Ben-Gvir, yang mengetuai parti ultranasionalis dalam kerajaan baharu Benjamin Netanyahu dan sebagai menteri yang menyelia polis, mengambil pendirian keras dalam langkah menurunkan bendera Palestin.
Ia berikutan pembebasan seorang tahanan Palestin minggu lalu yang sudah lama berkhidmat. Dia disabit kesalahan menculik dan membunuh seorang askar Israel pada 1983, yang mengibarkan bendera Palestin semasa disambut sebagai wira pahlawan di kampungnya di utara Israel.
Ben-Gvir, dalam satu kenyataan, menyatakan perbuatan mengibarkan bendera Palestin adalah tindakan menyokong keganasan.
“Tidak mungkin pelanggar undang-undang mengibarkan bendera pengganas, menghasut dan menggalak pengganasan, jadi saya mengarahkan agar bendera yang menyokong pengganasan diturunkan daripada tempat awam dan menghentikan hasutan terhadap Israel,” kata Ben-Gvir.
Penduduk Arab di Israel menyumbang kira-kira satu perlima daripada keseluruhan penduduk Israel dan kebanyakannya adalah keturunan Palestin yang kekal dalam negara yang diasaskan selepas perang kemerdekaannya pada 1948.
Mereka juga sudah lama membahaskan kedudukan mereka dalam politik Israel, mengimbangi warisan Palestin mereka dengan kewarganegaraan Israel.
Sumber: Berita Harian